KETUA Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menafikan beliau merupakan ‘budak’ kepada Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ini susulan tular beberapa keping gambar Ahli Dewan Undangan Negeri Jasin itu bersama Hishammuddin di media sosial.
Menjelaskan perkara itu, kata beliau, game (permainan) label-melabel sudah bermula.
“Tular sejak semalam gambar saya bersama dengan Datuk Seri Hishammuddin dikeluarkan, dan ada yang mengatakan bahawa saya berkomplot dengan beliau dan ada juga menyatakan bahawa saya dicop sebagai ‘budak’ Hishammuddin dan sebagainya.
“Suka saya ingin menjelaskan gambar yang ditularkan ini adalah ketika perjumpaan saya dengan beliau pada 25 September 2019.
“Ya 2019!!! Ketika itu UMNO masih lagi pembangkang dan kerajaan ketika itu adalah Pakatan Harapan (PH).
“Saya pula hanyalah sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan belum lagi menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia,”katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Jelae beliau lagi, ketika itu juga Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong masih lagi ahli UMNO.
“Cukup-cukuplah kita nak melabel sana sini. UMNO ini perlu dipulihkan, bukan terus dengan tuduh menuduh tanpa asas,” katanya.
Ujar beliau, seharusnya tugas pemimpin UMNO harus mengembalikan semula kepercayaan rakyat dan bukan sebaliknya.
“Tugas kita untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO, bukan menjauhkan rakyat dari UMNO,”katanya. – Edisi 9