28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Ini bukan pengakhiran karier politik saya – Hishammuddin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang digantung keahlian dalam UMNO menegaskan keputusan itu bukan pengakhiran kepada karier politiknya.

Sebaliknya bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, ia adalah suatu perkara baharu yang perlu ditempuhi dalam meneruskan usaha serta agendanya membela agama, bangsa dan tanah air.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah memutuskan untuk menggantung keahlian saya dalam parti selama enam tahun.

“Berkenaan apa langkah seterusnya, saya terpaksa berbincang dengan kepemimpinan UMNO Sembrong untuk memikirkan apa hala tuju dan tindakan selanjutnya.

“Apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk cekal berjuang demi agama bangsa dan tanah air.

“Ini bukanlah pengakhiran, tapi hanya permulaan. Permulaan yang baharu,” katanya dalam satu video yang dikongsi dalam Facebook beliau, malam ini.

Advertisements

Terdahulu, Hishammuddin memuat naik kapsyen ringkas berserta gambar menyentuh hati susulan keputusan mesyuarat MKT malam semalam.

“Kejahatan mereka tidak boleh menyebabkan kita kehilangan kebaikan kita,” kongsinya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam kenyataannya malam tadi, mengesahkan penggantungan Hishammuddin, selain Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Manakala Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, diberi surat tunjuk sebab.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar serta lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang, dipecat keahlian.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan