25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

KJ, Noh dipecat, Hishammuddin, Shahril digantung

Mesti Baca

TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, pemecatan kedua-dua mereka atas kesalahan pelanggaran disiplin parti.

Khairy yang bertanding di Parlimen Sungai Buloh tetapi tewas manakala Noh pula tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU-15) diambil tindakan mengikut perlembagaan parti atas kesalahan dalam PRU-15.

Ahmad berkata, keputusan memecat keahlian kedua-dua Khairy dan Noh dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam ini.

Sementara itu, Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahlian selama enam tahun.

Turut menerima nasib sama ialah bekas ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Bagaimanapun tiada penjelasan lanjut mengenai penggantungan mereka.

Sementara itu, Ahmad memaklumkan ahli MKT, Fathul Bari Mat pula diberi surat tunjuk sebab.

Advertisements

Semalam, Zahid memberikan isyarat bahawa UMNO akan membuat pembersihan total terhadap anasir yang bertindak mensabotaj parti dan calon dalam PRU-15 lalu.

Beliau berkata, UMNO akan mengadakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan akan menyenaraikan nama-nama mereka yang terbabit.

“Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy Jamaluddin) secara individu tidak penting.

“Saya kata dalam Perhimpunan Agung (UMNO) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran, termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada pilihan raya umum lalu dan mungkin termasuk orang yang ‘menembak kaki sendiri‘ ketika pilihan raya diadakan.

“Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa, insya-Allah esok malam akan terasa,” katanya selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco Luar Bandar (Mexclub), di Putrajaya.

Dalam PRU-15 lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama 60 tahun mengalami kekalahan memalukan apabila hanya memenangi 30 kerusi.

Kekalahan tersebut jauh lebih buruk berbanding PRU pada 2018 lalu, yang menyaksikan BN gagal mempertahankan Putrajaya buat kali pertama. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan