AHLI Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim akan meneliti terlebih dahulu tuntutan permohonan maaf daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Perdana Menteri itu menerima RM15 juta bagi khidmatnya sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor.
Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, langkah berkenaan perlu disebabkan beliau sendiri tidak begitu jelas berkenaan isu tersebut.
“Cuma saya terfikir, jauh betul beza PM10 (Anwar) dengan PM sebelum ini. Dulu kita fokus tangani Covid-19, laksanakan program vaksinasi yang saya kena jayakan di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Kalau saya nak layan tuduhan vaksin agenda musuh Islam, agenda Yahudi, konon beli vaksin harga mahal ada komisyen dan macam-macam, saya dan Khairy Jamaluddin mungkin tak dapat capai sasaran imuniti kelompok pada Oktober 2021 yang menjadi kunci pemulihan negara.
“Malah kami tawarkan diri kepada Jawatankuasa Kira Kira Wang Awam untuk lihat semua transaksi. Nothing to hide.
“Tak apalah PM10 ni barangkali itu cara dia. Saya dah setaraf dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Sanusi Mohd Noor,” katanya hari ini.
Semalam, Anwar menuntut Ahmad Amzad agar meminta maaf kerana mempertikai pengampunan yang diperoleh bagi sabitan kes beliau.
Tuntutan permohonan maaf itu dinyatakan dalam notis dihantar oleh Tetuan SN Nair & Partners, yang mewakili Anwar, 75, kepada Ahmad Amzad.
Peguam Datuk SN Nair ketika dihubungi Bernama mengesahkan telah menghantar notis itu kepada Ahmad Amzad melalui pos.
Nair berkata, anak guamnya menuntut agar video mengenai beliau di aplikasi TikTok di bawah nama @nelly3868 dan perkataan memfitnah ditarik balik selain memadam atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan serta bersifat fitnah.
Ahli Parlimen Tambun itu juga menuntut aku janji bertulis daripada Ahmad Amzad untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam video berkenaan, selain ganti rugi.
Dalam pada itu Ahmad Amzad menegaskan buat tempoh dua minggu kebelakangan ini, beliau mempunyai banyak tugas yang perlu dilaksanakan terutamanya urusan berpindah rumah serta dalam masa yang sama menubuhkan jentera Pusat Khidmat Parlimen.
“Kalau saya duk sibuk dengan perkara lain, melayan perkara yang remeh temeh, anak isteri saya, keluarga saya tidak akan teratur. Tugasan saya di Parlimen pun terganggu,” tegasnya.
-EDISI9