31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Hanya 8 laporan kes kanak-kanak alami kesan sampingan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HANYA lapan laporan diterima berkaitan kanak-kanak yang mengalami kesan sampingan akibat vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bermula sejak 3 Februari lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, jumlah itu bersamaan 0.006 peratus berbanding jumlah keseluruhan 246,868 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang diberikan suntikan vaksin Pfizer.

Katanya, aduan-aduan diterima menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membabitkan kesan sampingan yang tidak serius.

“Kes kanak-kanak mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) termasuk lima di Sarawak dan dua di Sabah dilaporkan oleh ibu bapa.

“Semua kes tidak berat seperti bengkak-bengkak atau merah-merah pada tempat suntikan dan apabila mereka membuat laporan AEFI, kita akan melakukan catitan, malahan kita juga sudah memaklumkan apa-apa kesan berkaitan vaksin COVID-19, penerima boleh buat laporan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja ke PICKids di Kota Bharu, Kelantan hari ini, lapor Sinar Harian.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Advertisements

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, setakat semalam, tujuh peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah mendapatkan suntikan vaksin iaitu angka yang masih rendah berbanding populasi empat juta kanak-kanak di negara ini.

“Melaka mendahului dengan 16.1 peratus diikuti dengan Sarawak 13.99 peratus manakala Kelantan berada dalam kelompok paling rendah kanak-kanak menerima vaksin iaitu 1.18 peratus atau 3,000 kanak-kanak.

“Kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus atau 36 juta kanak-kanak termasuk 2.7 juta yang bersekolah menerima suntikan vaksin,” katanya.

Beliau turut menegaskan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu yang tersebar berkaitan vaksin sebaliknya merujuk kepada data sahih dan golongan pakar.

“Berdasar data pada tahun lalu sebanyak 278,000 kanak-kanak dan remaja sehingga 17 tahun di negara ini dijangkiti COVID-19 dengan 63 mereka meninggal dunia.

“Komplikasi yang serius boleh berlaku tapi sangat jarang dan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan yang teruk serta tidak mahu berakhir dengan kematian,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan