34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Patuh SOP ketika penamaan calon Sabtu ini – SPR

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEMUA calon dan parti politik dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ini bagi memastikan proses penamaan calon kelak berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Sentiasa patuh undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPR juga ingin memaklumkan bahawa SOP Pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 telah diluluskan KKM pada 18 Feb lalu.

“Ia selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,”katanya.

Menurutnya, SOP Khas Pilihan Raya ini akan dilaksanakan dengan ketat dalam semua proses perjalanan pilihan raya iaitu cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, kertas penamaan calon bagi PRN Johor boleh dikemukakan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC), pada Sabtu.

“Ia hanya boleh dilakukan oleh calon, pencadang dan penyokong, kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di PPC.

“Untuk memudahkan proses penamaan, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

“Ini bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Ujar beliau, SPR juga mengingatkan calon yang mewakili mana-mana parti politik bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan.

“Hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC manakala penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan sama sekali melakukan sebarang aktiviti berkumpul dan berarak di mana-mana tempat atau PPC sepanjang hari penamaan,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan