23.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 29, 2022

Kes harian melonjak, PKRC MAEPS akan dibuka semula?

Mesti Baca

HANYA kurang daripada sebulan selepas penutupan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pusat itu dijangka kembali dibuka dalam masa terdekat.

Difahamkan kerja-kerja menyiapkan kemudahan di Dewan A MAEPS itu sedang dijalankan oleh beberapa agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Berdasarkan maklumat yang dikongsi MPKj menerusi Facebooknya semalam, kerja-kerja menyusun semula katil untuk pesakit Covid-19 dilakukan pihaknya oleh Skuad Pantas bersama beberapa agensi lain.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai pembukaan semula PKRC MAEPS daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pembukaan semula PKRC MAEPS seperti sudah dijangka berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara, khususnya di Lembah Klang sejak penularan varian Omicron bulan lalu.

Skuad Pantas MPKj membantu menyiapkan dewan di MAEPS Serdang dipercayai sebagai persiapan pembukaan semula PKRC terbesar itu tidak lama lagi. – Sumber: FB MPKj

Semalam sahaja jumlah kes telah mencecah 31,199 kes iaitu yang tertinggi sejak wabak itu di kesan di negara ini pada Februari 2020 dengan 55 kematian.

Baca juga:   Pengaruh “Mat Kilau” tarik Keluarga Malaysia dalami silat - PM

Walaupun hanya 0.62 peratus (194 kes) sahaja daripada jumlah kes semalam melibatkan kategori kritikal atau separa kritikal iaitu kategori 3 hingga 5, jumlah mereka yang dijangkiti wabak tersebut perlu dikuarantin dan menerima rawatan.

Untuk rekod pada 30 Mac 2020, kerajaan menggunakan MAEPS bagi menempatkan para pesakit yang tiada gejala atau bergejala ringan bagi menampung limpahan pesakit wabak itu di hospital-hospital KKM di Lembah Klang sebelum ditamatkan pada Julai tahun yang sama.

Baca juga:   Banjir: Negara siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Namun pada 9 Disember 2020, PKRC MAEPS 2.0 diaktifkan semula berikutan peningkatan kes COVID-19 dengan mendadak susulan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Susulan jumlah populasi Malaysia yang menerima vaksinasi lengkap mencapai lebih 90 peratus dan keadaan wabak itu terkawal, PKRC MAEPS 2.0 ditamatkan pada 8 Februari lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan JPBN Wilayah Persekutuan bersetuju untuk membuka PKRC di peringkat negeri yang lebih kos efektif sebagai alternatif. – Edisi 9

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan