29 C
Kuala Lumpur
Monday, November 28, 2022

NADMA, agensi menyelamat mula pindah mangsa banjir – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi berkaitan telah dikerah untuk membantu memindahkan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, arahan itu dikeluarkan sejurus menerima laporan beberapa kawasan di kedua-dua negeri Pantai Timur itu terutamanya Hulu Terengganu ditimpa banjir teruk.

Beliau berkata, selain NADMA turut digerakkan ialah agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mereka telah dikerah bagi menjalankan kerja-kerja memindahkan mangsa banjir.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja-kerja menyelamat di kawasan terjejas bagi memastikan proses pemindahan mangsa berjalan lancar.

“ATM melalui Briged Kelapan Infantri Malaysia juga telah diatur gerak membantu mangsa di kedua-dua negeri. Ramai yang terjejas sedang diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat,” kata Perdana Menteri menerusi Facebooknya hari ini.

Baca juga:   11,384 mangsa banjir di enam negeri dipindahkan

Ismail Sabri berkata, beliau juga telah mengarahkan NADMA untuk memastikan kit makanan mencukupi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kata beliau, Kementerian Kesihatan turut membantu bagi memastikan pencegahan penularan COVID-19 dilaksanakan di pusat pemindahan.

Ismail Sabri menasihati mangsa-mangsa banjir agar mengikuti langkah-langkah keselamatan dan berpindah ke PPS atau tempat yang selamat untuk keselamatan diri dan keluarga.

“Sama-sama kita doakan agar keadaan banjir segera pulih dan mangsa dapat pulang ke kediaman masing-masing.

Baca juga:   Raya PKP: Kampung 'sepi' di Aidilfitri

Untuk rekod, jumlah mangsa banjir di Terengganu terus bertambah apabila seramai 4,697 mangsa terjejas dengan banjir gelombang kelima bermula kelmarin.

Setakat pukul 2 petang tadi, kesemua mangsa daripada 1,435 keluarga dipindahkan ke 98 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, di Kelantan pula, jumlah mangsa meningkat kepada 3,546 mangsa 8 pagi tadi, berbanding 2,044 orang petang semalam.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Remaja lelaki maut kemalangan, tercampak dari jambatan

SEORANG remaja lelaki maut selepas tercampak dari sebuah jambatan setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan...

Lagi Artikel Berkaitan