29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

MPN cadang sempadan negara dibuka seawal 1 Mac

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan kepada kerajaan agar sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, namun begitu ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Pemulihan Negara di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, walaupun terdapat peningkatan kes harian COVID-19, strategi pemberian dos penggalak (booster) dan langkah kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya menurunkan kemasukan kes COVID-19 kategori 3-5 di hospital.

“Ini berdasarkan taklimat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai situasi dan perkembangan terkini COVID-19 terutamanya penularan varian Omicron,” katanya.

Ujar beliau, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai peratusan tertinggi lengkap vaksin di dunia dengan 98 peratus populasi dewasa dan lebih 78 peratus populasi negara telah lengkap menerima dos vaksin.

Advertisements

“Lebih 50 peratus populasi dewasa juga telah menerima dos penggalak mereka.

“Ini telah membantu meringankan beban ke atas sistem kesihatan negara. Pemberian vaksin penggalak, remaja dan kanak-kanak akan dipertingkatkan setelah mengambil kira kemunculan varian Omicron,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam mesyuarat tersebut, MPN turut mencadangkan supaya pelarasan bagi semua bantuan kewangan oleh pelbagai pihak dapat dilaksanakan secara sistematik bagi meningkatkan penggunaan sumber lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan. 

“Ia bagi mengelakkan berlaku pertindihan sekali gus lebih ramai pengusaha terjejas dapat terus menerima bantuan.

“Selain itu, majlis mengambil maklum industri pembinaan negara pada masa ini menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

“Majlis juga mengambil maklum industri pembinaan amat penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam proses pemulihan negara. Justeru, majlis menyokong cadangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk penyelesaian segera dan jangka masa panjang bagi isu yang lebih struktural,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan