27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Muhyiddin bimbang dapatan kajian rakyat mula ‘ikat perut’

Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan kebimbangan dengan laporan kajian yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada bulan Disember 2021.

Beliau berkata, kajian berkenaan mendapati 12 peratus rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari (skip meal), 12 peratus tangguh rawatan perubatan dan 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.

Selain itu menurut beliau, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

“76 peratus daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.

“Selaku Pengerusi MPN, saya telah menyuarakan kebimbangan saya dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang terkesan,” katanya dalam Facebook hari ini.

Ujar Muhyiddin lagi, banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.

Menurutnya, banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini.

“Industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah.

“Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet. Namun, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini.

Menurut beliau, isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius.

“Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

“Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay. Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana,” katanya.

Ujar beliau lagi, Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan.

“Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Is this okay? No, it is not okay.

“Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting.

Mungkin kerana itulah hanya 35 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri pada masa ini.

Menurutnya, aspek pengurusan ekonomi negara mencatatkan prestasi terburuk dengan hanya 18 peratus berpuas hati.

“Sebagai Pengerusi PN, saya telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang murah.

“Pada masa yang sama, BN sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen.

Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan