27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Lebih 50 orang awam dibunuh anggota militia di Congo

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LEBIH 50 orang awam terbunuh apabila sejumlah anggota militia bersenjatakan parang menyerang sebuah lokasi tempat pelarian berlindung di timur Congo, kata beberapa sumber.

Memetik laporan agensi berita AFP, seramai 52 orang dengan sebilangan mereka kanak-kanak telah dibunuh, kata sumber daripada misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (MONUSCO) sambil menambah, sejumlah 36 yang lain cedera.

Kerajaan Congo juga menyatakan bahawa sekitar 50 orang telah mati.

“Pembunuhan beramai-ramai orang awam yang tidak berdaya adalah jenayah kemanusiaan,” kata jurucakap tentera di wilayah Ituri, Leftenan Jules Ngongo.

Badan pemantau bebas berpangkalan di Amerika Syarikat, Kivu Security Tracker berkata, penyerang-penyerang yang membawa senjata tajam itu adalah anggota kumpulan bersenjata dinamakan Koperasi untuk Pembangunan Congo (CODECO) yang didakwa melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di lokasi tersebut.

Advertisements

Serangan itu berlaku di Djugu dekat Tasik Albert. Kawasan itu adalah medan pertempuran berterusan antara komuniti Lendu dan Hema.

Pertempuran antara dua etnik itu tercetus antara tahun 1999 hingga 2003 yang meragut berpuluh-puluh ribu nyawa sebelum dihentikan oleh tentera pengaman Kesatuan Eropah, Artemis.

Keganasan kembali semula pada 2017 yang didakwa berpunca daripada kemunculan CODECO. Kumpulan itu didakwa melindungi etnik Lendu.

Sejak dari itu, serangan-serangan oleh CODECO menyebabkan ratusan kematian dan mendorong lebih 1.5 juta orang meninggalkan kediaman mereka, manakala separuh daripada populasi di rantau itu berdepan kekurangan makanan.

Serangan terbaharu itu menyasarkan Kem Pelarian Plaine Savo di mana lebih 24,000 orang berlindung daripada keganasan di Djugu pada 2019, demikian menurut Majlis Pelarian Norway. – Agensi

Advertisements

Terkini

16 syarikat, 200 peluang kerjaya dalam Career Connect@PUO

SEBANYAK 16 syarikat pelbagai industri dengan tawaran lebih 200 peluang pekerjaan dan penempatan latihan indusri menyertai Career Connect @...

Lagi Artikel Berkaitan