SERAMAI 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara one-off telah berjaya terpilih dalam temuduga fasa dua dan tiga yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kesemua yang berjaya boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.
Menurut beliau, guru-guru tersebut akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.
“Pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama.
“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Radzi turut menasihatkan guru baharu berkenaan untuk memanfaatkan peluang tersebut menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat.
“KPM akan terus bekerjasama rapat dengan SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru one-off dalam masa terdekat.
Menurut beliau, langkah berkenaan amat penting bagi menampung keperluan guru, khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.
“InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu.
“Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” kongsinya.
Edisi9 1 Disember lalu melaporkan kumpulan pertama bagi fasa pertama pengambilan one-off guru seramai 18,702 orang telah mula melaporkan diri di sekolah masing-masing.
Jun tahun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan akan melaksanakan pengambilan khas melibatkan 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 dalam masa terdekat.
Pengambilan berskala besar itu dilakukan secara one-off bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan guru.
Iklan untuk pengambilan tersebut akan mula dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada Julai.
Inisiatif terbaharu itu adalah hasil perbincangan KPM dan pelbagai agensi yang mendalami isu kekurangan guru yang membelenggu negara sejak dahulu.
-EDISI9