36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sabah pertingkat PICKids di sekolah rendah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bagi memberi vaksinasi kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Sabah dipertingkatkan lagi dengan memperluaskan program itu ke sekolah rendah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata, inisiatif itu dimulakan di daerah Tambunan membabitkan beberapa sekolah rendah pada Sabtu lalu dengan 60 kanak-kanak menerima dos pertama vaksinasi mereka.

“Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bersedia pergi ke sekolah bagi menjalankan program vaksinasi supaya kanak-kanak yang layak diberi vaksin mendapat perlindungan maksimum (daripada risiko jangkitan COVID-19).

“Jumlah kanak-kanak dijangkiti COVID-19 (di Sabah setakat ini) adalah tinggi.

“Justeru, saya fikir ibu bapa harus mengambil inisiatif untuk memastikan anak mereka mendapat vaksinasi kerana pada akhirnya keputusan adalah pada tangan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran PICKids peringkat negeri di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata program vaksinasi itu akan dijalankan di 1,705 sekolah rendah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan perbincangan sama ada ia dijalankan secara berkelompok atau mengikut sekolah masing-masing akan dibuat selepas ini.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan ibu bapa termasuk di pedalaman berpeluang membawa anak mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19, selain usaha meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun memandangkan jumlahnya masih lagi rendah.

“Ibu bapa mempunyai banyak pilihan sama ada pergi secara terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan, daftar melalui MySejahtera atau ke klinik kesihatan. Jadi, tiada alasan lagi untuk tidak pergi (vaksinasi).

“Orang dewasa boleh pergi sendiri, tetapi kanak-kanak terpaksa mengikut ibu bapa mereka. Jika ibu bapa tidak bawa, anak tidak akan dapat suntikan vaksinasi sedangkan itu hak mereka (anak-anak),” katanya.

Setakat ini, seramai 9,686 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Sabah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sejak PICKids dimulakan di lima hospital iaitu HWKKS, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau pada 3 Februari lalu.

Program itu turut diperluas ke seluruh Sabah dengan penubuhan 145 PPV membabitkan 109 Klinik Kesihatan, 22 hospital, 18 klinik swasta dan empat PPV awam, yang dipantau pakar dan pegawai perubatan. – Bernama

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan