
MALAYSIA muncul sebagai antara negara dengan tahap sokongan tertinggi di dunia terhadap cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu bawah 16 tahun.
Keputusan ini sekali gus memberi isyarat jelas bahawa rakyat mahukan pendekatan lebih tegas dalam melindungi kanak-kanak di ruang digital.
Dapatan ini berdasarkan kajian global Family First oleh Varkey Foundation yang dijalankan pada Januari hingga Februari 2026, melibatkan lebih 18,000 responden merangkumi ibu bapa, kanak-kanak, remaja, datuk nenek serta generasi muda (Gen Z) dari 15 negara.
Kajian tersebut menunjukkan 77 peratus ibu bapa di Malaysia menyokong had umur bawah 16 tahun, sekali gus meletakkan negara ini di kedudukan teratas berbanding negara lain seperti India (75 peratus) dan Perancis (74 peratus). Jepun pula mencatatkan sokongan paling rendah iaitu 38 peratus.
Lebih signifikan, sokongan terhadap cadangan ini bukan sahaja datang daripada ibu bapa, malah turut disokong oleh 62 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia (berbanding purata global 37 peratus)
Manakala 65 peratus Gen Z Malaysia turut memberi sokongan sama, berbanding 51 peratus berbanding global.

Dapatan ini menggambarkan satu konsensus merentas generasi bahawa penggunaan media sosial pada usia terlalu muda perlu dikawal.
Angka sokongan yang tinggi ini merupakan satu mandat awam yang semakin jelas kepada kerajaan untuk mempertimbangkan langkah kawal selia lebih sistematik terhadap platform digital.
Namun, pendekatan yang disokong itu bukanlah sebagai larangan mutlak, sebaliknya lebih kepada konsep “melambatkan akses” (delay, not ban) bagi memberi ruang kepada perkembangan emosi dan kognitif kanak-kanak sebelum terdedah sepenuhnya kepada ekosistem media sosial.
Dalam konteks ini, had umur dilihat seiring dengan prinsip perlindungan yang telah lama diterima dalam sektor lain seperti pemanduan, perjudian dan penggunaan bahan terlarang.
Sokongan tinggi ini turut mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan media sosial terhadap perkembangan kanak-kanak.
Ini termasuk pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, tekanan sosial dan budaya perbandingan diri, risiko ketagihan digital serta kesan terhadap kesihatan mental.
Fenomena ini menjadikan isu media sosial bukan lagi sekadar isu teknologi tetapi isu kesihatan awam dan perkembangan generasi.
Selain peranan ibu bapa dan kerajaan, kajian juga menguatkan hujah bahawa syarikat teknologi perlu memikul tanggungjawab lebih besar melalui pendekatan “safety by design”.
Antaranya, tetapan akaun selamat secara automatik untuk pengguna bawah umur, kawalan algoritma yang tidak mengeksploitasi emosi remaja serta mekanisme pengesahan umur yang lebih berkesan.
Langkah ini penting bagi memastikan perlindungan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata.
Walaupun sokongan awam tinggi, namun pelaksanaan dasar had umur ini tidak terlepas daripada cabaran.
Antaranya, keupayaan remaja memintas sekatan teknologi, perdebatan berkaitan kebebasan digital dan keperluan pendidikan literasi digital yang lebih menyeluruh.
Sehubungan itu, pendekatan yang berkesan memerlukan keseimbangan antara penguatkuasaan, pendidikan dan tanggungjawab industri.
Dengan tahap sokongan yang tinggi merentas generasi, Malaysia dilihat berpotensi menjadi antara negara peneraju dalam merangka dasar perlindungan kanak-kanak di ruang digital.
Langkah ke hadapan kini bergantung kepada sejauh mana dapatan ini diterjemahkan kepada dasar yang praktikal, inklusif dan berkesan.
Apa yang pasti, mesej daripada rakyat jelas iaitu media sosial bukan sekadar ruang kebebasan, tetapi ruang yang perlu diurus dengan tanggungjawab demi masa depan generasi muda. — Edisi 9

