25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Penghantaran pertama vaksin untuk kanak-kanak tiba esok

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGHANTARAN pertama vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak dijangka tiba esok dan akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dengan ketibaan Vaksin Pfizer (Kanak-kanak) itu, pemberian vaksin akan bermula pada 3 Februari ini.

“Sebagaimana semua sedia maklum, Menteri Kesihatan telah memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari 2022 melalui Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).

“Vaksin mRNA iaitu Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) akan digunakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menegaskan bahawa vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak tersebut adalah selamat dan berkesan, selain ia disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 “Januari 2022.

Dianggarkan seramai 4 juta kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun layak untuk menerima vaksin ini. Pengambilan vaksin ini adalah amat digalakkan bagi memastikan kesihatan anak-anak terpelihara,” tambah beliau.

Sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan, manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

Seterusnya, PICKids akan diperluaskan ke sekolah-sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kaedah pemberian lain yang telah dikenal pasti adalah PPV Offsite, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar (outreach).

“KKM juga telah memulakan kerjasama dengan agensi-agensi pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Sistem Tempahan Janji Temu melalui Aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu.

“Sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera. Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

“KKM mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka. Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” jelas Dr Noor Azmi. – Edisi 9

Terkini

Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama merangkumi sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan...

Lagi Artikel Berkaitan