28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Penyumbang Dana Amanah MySDG diberi rebat cukai 10%

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri hari ini melancarkan Dana Amanah MySDG dan mengumumkan pemberian potongan cukai sehingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat bagi para penyumbang dana tersebut.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu diberikan bagi membolehkan seluruh Keluarga Malaysia tidak kira sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu dalam dan luar negara untuk sama-sama menyumbang dana amanah itu.

“Saya berharap insentif ini akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif yang bersejarah ini.

“Saya berterima kasih kepada PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) atas bantuan dan kerjasama yang diberikan, terutamanya dalam mempromosikan inisiatif ini kepada penyumbang antarabangsa yang sentiasa yakin dengan usaha dan aspirasi Malaysia dalam mencapai matlamat ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis penubuhan Yayasan MySDG dan Tabung Amanah MySDG di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Penyelaras Residen PBB di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Karima El-Korri.

Ismail Sabri berkata, Dana Amanah MySDG merupakan kolaborasi antara kerajaan dengan PBB di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

“Matlamatnya antara lain bertujuan untuk membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.

“Manakala, penubuhan Yayasan MySDG pula mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan Agenda 2030 tercapai,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesaksamaan dari segi kemajuan sosio-ekonomi bagi seluruh Keluarga Malaysia.

“Ini merangkumi konsep pembangunan untuk semua, termasuklah menangani jurang kekayaan dan pendapatan, serta bagi menuju ke arah sebuah negara yang bersatu, makmur dan berintegriti.

Malah, katanya, kerajaan akan terus menekankan dasar pertumbuhan inklusif yang merupakan teras kepada matlamat pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan dalam konsep Keluarga Malaysia.

“Berlandaskan kepada SDG, saya yakin pembangunan negara akan bertambah baik dan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih teguh, berdaya tahan, aman dan makmur, disulami oleh keterangkuman bagi setiap lapisan masyarakat.

“SDG juga akan terus diintegrasikan sepenuhnya di dalam mekanisme dan dasar perancangan serta pembangunan negara. Malah, SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Melalui penjajaran penuh SDG ini, kerajaan dapat memantau segala kemajuan berkenaan usaha ini dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, penggemblengan sumber untuk menyokong SDG juga dapat dipastikan.

“Dengan penjajaran sepenuhnya yang dilaksanakan dalam bajet tahunan kerajaan, kini kita dapat mengenal pasti jurang pembiayaan untuk mencapai aspirasi negara berkenaan SDG. 18.

“Saya percaya, Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG akan dapat mengisi jurang ini, dan seterusnya membantu mempercepatkan pencapaian Agenda 2030,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan