PARA peniaga yang menggunakan bahan berbahaya seperti paku, dawai kokot dan lain-lain dalam pembungkusan makanan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah susulan kisah mengenai peniaga ‘nasi paku’ iaitu membungkus nasi yang dijual menggunakan paku, yang tular menerusi media sosial beberapa hari lalu.
Malahan, menurut beliau, mereka boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.
“Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan para penyedia dan peniaga makanan agar menggunakan kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.
“Penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku kerana sekian lama ini, sudah terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan, di bawah Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 bahawa tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana makanan hingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan tersebut.
Manakala di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula, jelas beliau, pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sepanjang 2019 hingga 2021 yang lalu sebanyak 19 atau 3.5 peratus daripada 546 sampel makanan yang dianalisis oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) didapati tercemar dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terlibat.
Katanya, sebanyak 45,361 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara pada tahun lalu dan daripada jumlah itu, sebanyak 697 atau 1.5 peratus premis makanan telah ditutup akibat pelbagai kesalahan. – Edisi 9