27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Kalau bukan kerana PM, Kasturi masih di bawah landasan LRT?

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PENULIS tersenyum membawa kenyataan menteri-menteri Kabinet menerusi media sosial bahawa mereka “sudah membantu” seorang lelaki bernama Kasturi dan isterinya yang tinggal di bawah landasan Transit Aliran Ringan (LRT).

Mula-mula Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang ‘segera’ bertindak dengan menghantar pegawai mencari lokasi di mana Kasturi berteduh dan akhirnya berjumpa.

Shahidah berkata, pihaknya telah menawarkan rumah PPR kepada Kasturi dan lesen berniaga di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun, kata Shahidan dalam Facebooknya kelmarin, lelaki itu memilih untuk tinggal di rumah sewa di Kapar, Klang berhampiran rumah sewa lamanya. Bayaran sewa nanti akan ditanggung oleh Baitulmal.

Kemudian, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula memaklumkan lelaki terbabit, Kasturi Daim akan dibantu dengan diberikan tempat tinggal baharu.

Katanya, bantuan segera diberikan oleh KPKT dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), untuk dipindahkan ke kediaman baharu.

Alhamdulillah, nampaknya nasib malang Kasturi segera dibela dan mendapat perhatian penuh menteri-menteri berkenaan yang ‘segera’ bertindak.

Menariknya, kedua-dua menteri berkenaan memaklumkan isu Kasturi itu diketahui selepas mendapat mesej dari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Nampaknya, Perdana Menteri kita ini begitu prihatin mengarahkan para menteri Kabinetnya membantu rakyat seperti Kasturi ini yang sudah tentu berada dalam kesusahan.

Kalau bukan kerana mesej dari Perdana Menteri, Kasturi mungkin masih tinggal di bawah landasan LRT ini, walaupun isunya sudah ditularkan menerusi media sosial.

Ya, kita beruntung mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu prihatin dengan nasib rakyat. Bukan setakat Kasturi tetapi banyak lagi yang tidak boleh disenaraikan satu persatu di sini.

Advertisements

Namun persoalannya, sampai bila seorang menteri atau pegawai-pegawainya terpaksa bergantung harap kepada ‘arahan’ Perdana Menteri untuk bertindak?

Kita sudah masuk tahun 2022 dan budaya kerja ‘apabila disuruh’ ini tidak sepatutnya berlaku lagi.

Dengan kecanggihan teknologi telekomunikasi dan perkembangan media sosial sepatutnya isu-isu seperti ini tidak perlu sehingga menunggu arahan seorang Perdana Menteri untuk bertindak.

Sudah tiba masanya pengurusan di semua peringkat tidak lagi terlalu terikat dengan pelbagai syarat seperti perlu mengisi borang, menuggu laporan dan lain-lain titik bengit lagi.

Dalam keadaan rakyat yang mengharungi kesukaran hidup, isu-isu syarat dan peraturan ini sepatutnya sudah boleh dikurangkan atau dimansuhkan sama sekali.

Apa yang penting memudahkan bantuan diterima rakyat. Inilah sebenarnya yang dimahukan Ismail Sabri ketika proses penyaluran bantuan kepada mangsa banjir. Mudahkan urusan, tak usah menyulitkan.

Ini tidak, nak bantu seorang yang jelas-jelas dalam keadaan kesusahan pun masih lagi meletakkan macam-macam syarat – isi borang, dapatkan sokongan Yang Berhormat atau Penghulu, kena tunggu laporan, ada kad OKU atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan entah macam-macam lagi.

Walhal rakyat dalam kesusahan, nak makan pun tak lepas. Ini pula disuruh sediakan dokumen itu ini.

Sebab itulah, rakyat yang dalam kesusahan lebih rela mendapat bantuan daripada Ebit Lew daripada meminta bantuan daripada baitulmal, pusat zakat, apatah lagi masjid-masjid.

Penulis percaya jika semua pihak yang berkenaan memudahkan untuk membantu kes-kes seperti Kasturi, Daniel dan ramai lagi yang di luar sana yang terpaksa merempat dan mencuri demi sesuap nasi, tidak akan berlaku.

Tidak guna kalau pusat zakat ada berbilion duit, tak guna masjid surau ada berpuluh ribu wang sumbangan dan derma tetapi jiran di sebelahnya mati kelaparan.

Tak gitu?

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan