31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ismail Sabri, Hun Sen bincang situasi di Myanmar

Malaysia kekal komited dan menyokong usaha ASEAN ke arah menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengadakan sidang video bersama rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen bagi membincangkan kemelut politik dan situasi di Myanmar.

Dalam pertemuan secara maya itu, Perdana Menteri menekankan keperluan untuk meredakan keadaan di negara tersebut dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.

Beliau turut menekan isu mengadakan dialog politik di antara semua pihak yang berkaitan demi kepentingan rakyat dan menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint.

Selain itu, Ismail Sabri juga menyentuh usaha meneruskan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelaras ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam pengurusan bencana (AHA Centre) dengan sokongan negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan luar ASEAN.

“Perdana Menteri turut menyatakan sekali lagi pendirian Malaysia agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan dalam usaha mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar,” kata kenyataan Wisma Putra di Putrajaya hari ini.

Semasa panggilan telefon tersebut, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Kemboja setelah mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2022 dan mengucap terima kasih kepada Hun Sen kerana berkongsi maklumat berhubung perkembangan terkini di Myanmar.

Dalam hal ini, Malaysia menyokong perlantikan Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas yang baharu.

“Perdana Menteri turut menekankan bahawa Malaysia kekal komited dan menyokong usaha ASEAN ke arah menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar,” kata kenyataan itu.

Berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN, Malaysia menegaskan bahawa pendirian kita tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

Kenyataan itu berkata, Perdana Menteri juga menyuarakan pandangan bahawa cadangan langkah-langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-menteri Luar ASEAN dan Pegawai-pegawai Kanan ASEAN.

“Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera.

“Perdana Menteri turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap Kepengerusian Kemboja dan inisiatif-inisiatif untuk terus membangunkan Kominiti ASEAN dan memajukan ASEAN di peringkat serantau dan
antarabangsa,” kata Wisma Putra. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan