25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

28,287 mangsa banjir terima BWI setakat ini – Ismail Sabri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 28,287 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir di seluruh negara telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat 12 tengah hari ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, jumlah itu adalah lebih 60 peratus daripada keseluruhan 46,162 KIR yang terlibat dalam bencana itu, sejak mula diagihkan pada 27 Disember lalu.

Beliau berkata, bantuan tersebut berjaya diagihkan dalam tempoh 10 hari selepas mangsa terkesan banjir berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.

“Sebanyak lima negeri iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan, Melaka, Terengganu dan Perak telah mencapai 100 peratus pembayaran BWI
kepada KIR yang terkesan.

“Sementara Pahang mencapai 65.5 peratus, Negeri Sembilan 82.7 peratus dan Selangor 47.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bertindak Banjir Monsun Timur Laut di Putrajaya.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Menteri-menteri Besar, Ketua-ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah agensi-agensi berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Pengarah-pengarah Pembangunan Negeri dan ketua-ketua jabatan.

Ismail Sabri berkata, bagi mempermudahkan urusan agihan BWI agar lebih cepat dan efektif, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah menubuhkan Command Centre dengan pemantau harian dibuat secara masa nyata bermula 27 Disember lalu.

Bagi mangsa yang meninggal dunia pula, beliau berkata, daripada 51 kematian akibat bencana banjir yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga semalam, seramai 38 waris mangsa telah pun menerima BWI Pengurusan Kematian berjumlah RM10,000 bagi setiap mangsa.

Katanya, hasil penyelarasan yang dibuat dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat-pejabat Daerah, agihan BWI tersebut dijangka selesai pada 5 Januari.

Bagaimanapun, jelas beliau, ini tidak termasuk bayaran BWI kepada mangsa banjir gelombang kedua yang sedang melanda di beberapa negeri masa kini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerja-kerja pembersihan bagi lima negeri yang terlibat banjir gelombang pertama sebelum ini telah mencapai 91 peratus.

Katanya, berdasarkan laporan Kementeri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sehingga semalam kerja-kerja pembersihan di Kuala Lumpur dan Melaka sudah telah mencapai 100 peratus.

Manakala Selangor pula 82 peratus, Pahang (77 peratus) manakala Negeri Sembilan pula mencapai 95 peratus.

“Dianggarkan sebanyak 53,800 tan sisa banjir telah diurus menggunakan 2,730 jentera.

“Dana sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan kepada 32 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kerja-kerja Pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerja-kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu melibatkan 32 PBT menerima peruntukan sebanyak RM50 juta.

Beliau juga berkata, hampir separuh daripada penjawat awam Persekutuan dan Negeri telah digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan dan kemanusiaan.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan