32.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 2, 2022

JKR Sabah diarah pantau infrastruktur jalan raya terjejas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kerja Raya (JKR) Sabah diarah meningkatkan pemantauan terhadap keadaan infrastruktur terutama jalan raya yang terjejas akibat banjir dan hujan berterusan khususnya di pantai timur dan utara negeri.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu jurutera JKR di setiap daerah mengambil tindakan proaktif bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Bung Moktar berkata, beliau sudah mengarahkan semua jurutera JKR di daerah masing-masing supaya memantau infrastruktur terutama jalan raya di bawah seliaan mereka berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

“Jalan raya yang berisiko termasuk bahagian cerun perlu dipantau bagi memastikan ia selamat digunakan dan sekiranya ada tanda-tanda yang menunjukkan bahaya, jurutera perlu memaklumkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, mana-mana kawasan yang berisiko perlu diletakkan papan tanda amaran bagi memastikan pengguna jalan raya peka dan lebih berhati-hati apabila mendekati atau melalui kawasan terbabit.

Baca juga:   Isteri, anak perempuan PM santuni mangsa banjir di Selangor

Dalam pada itu, beliau turut menasihati pengguna supaya tidak mengambil sebarang risiko terutama bagi kenderaan kecil untuk meredah laluan terjejas akibat banjir walaupun kelihatan ‘selamat’ kerana mungkin ada bahaya tersembunyi.

“Pihak JKR akan sentiasa mengemaskini keadaan jalan raya, cerun dan jambatan yang terjejas disebabkan banjir yang berlaku sekarang demi kepentingan pengguna,” katanya.

Baca juga:   Zizie Izette didakwa terima wang tunai RM2.2 juta

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut mengarahkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di seluruh negeri terutama Kinabatangan supaya diaktifkan 24 jam berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Beliau berkata, pemantauan berterusan penting bagi memastikan segala persiapan dapat dirangka lebih awal supaya operasi membantu dan menyelamat bersama agensi serta jabatan berkaitan berjalan dengan lancar.

Katanya, ia juga bertujuan mengelak daripada timbul sebarang isu kelewatan gerakan operasi yang akhirnya memberi kesan terhadap usaha menyelamat penduduk di kawasan yang berisiko tinggi.

“Saya minta seluruh PKOB di negeri ini terutama di kawasan Kinabatangan supaya melaksanakan persiapan awal dan rapi bagi memastikan perjalanan operasi berjalan dengan lancar.

“Perancangan yang rapi dan teratur dapat memastikan semua petugas serta aset berkaitan digerakkan bersama tanpa sebarang masalah atau kejadian buruk dan tidak diingini,” katanya.

Daerah Kinabatangan turut terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan di kawasan pantai timur dan utara Sabah namun belum ada operasi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu setakat ini.

Baca juga:   Tun Ariffin Zakaria ketuai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

Setakat jam 2.30 petang ini, seramai 3,398 mangsa banjir membabitkan 1,236 keluarga dipindahkan di 27 PPS iaitu di Kota Marudu (13), Paitan (tiga), Telupid (tiga), Pitas (empat), Beluran (dua) dan Sandakan (dua).-Edisi 9

Terkini

Aktif dalam pertubuhan belia bantu tambah merit ke IPTA

Oleh MOHD FAUZI FADZIL LAPORAN terbaru yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar menunjukkan bahawa...

Lagi Artikel Berkaitan