UMNO Sabah menetapkan sasaran untuk kembali memerintah negeri berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sejajar dengan itu, beliau kini memberi tumpuan penuh terhadap usaha mempersiapkan parti bagi menghadapi PRN.
Katanya, perkara itu menjadi fokus utamanya selepas kes mahkamah berhubung dakwaan rasuah yang dihadapinya sejak kira-kira lima tahun lalu selesai.
Bung Moktar berkata, persiapan rapi bermula dengan usaha mengukuhkan parti di semua peringkat perlu dipergiatkan memandangkan PRN Sabah ke-17 sudah semakin hampir.
“Saya kini lebih memfokuskan parti khususnya di Sabah kerana kita melihat bahawa masa sudah semakin singkat untuk kita memperkukuhkan parti,” katanya dalam satu kenyataan, sempena Majlis Kesyukuran UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menyusun beberapa program turun padang untuk berjumpa dengan akar umbi dan pimpinan parti di semua peringkat, disusuli langkah untuk menstruktur parti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyifatkan tiga kemudahan asas iaitu jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik perlu diselesaikan dengan segera oleh mana-mana parti yang memerintah Sabah.
Pada Januari lalu, Bung Moktar mengumumkan keputusan UMNO Sabah menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sebelum ini, GRS bekerjasama dengan UMNO Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Parti Warisan (WARISAN) pada PRN Sabah 2020 sebelum berjaya mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan negeri. -Edisi 9