28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Banjir: 8,330 KRT digerakkan bantu bersih rumah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perpaduan Negara telah menggerakkan 8,330 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dengan keahlian seramai 250,000 di seluruh negara bagi menyalurkan bantuan di kawasan terjejas banjir.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, ahli KRT digerakkan bagi membantu pembersihan rumah mangsa banjir selain bertugas di dapur komuniti yang dibuka kementerian itu bagi mengagihkan bantuan makanan panas kepada mangsa banjir.

Katanya, ahli KRT diarahkan untuk segera membantu kerja pembersihan kediaman mangsa banjir terjejas berganding bahu dengan ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

“Sebelum ini kita sudah gerakkan 150 ahli KRT bagi membantu kerja pembersihan kediaman mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

“Sekiranya kawasan KRT terjejas banjir kita akan gerakkan ahli dari kawasan atau negeri lain bagi membantu mangsa banjir,” katanya ketika melawat di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai, Kota Tinggi hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar meninjau mangsa banjir di PPS SK Mawai.

Sementara itu, Halimah berkata, Kota Tinggi bersiap siaga membuka lebih banyak PPS jika banjir semakin buruk berikutan hujan berterusan.

Katanya, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah sudah menyiapkan semua keperluan untuk pembukaan lebih banyak PPS di daerah itu.

“Setakat ini banjir di Kota Tinggi masih tidak seburuk pada 2006 serta awal tahun lalu, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya semua pihak bersedia sepenuhnya.

“Kita tidak mahu tunggu paras banjir lebih tinggi bagi mengelakkan pemindahan lebih sukar dan nyawa penduduk terancam. Kita belajar daripada pengalaman negeri lain sebelum ini,” katanya.

Terdapat 117 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS itu selepas kediaman mereka di Kampung Baru Mawai dinaiki air banjir sejak semalam.-Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan