29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Fenomena air pasang besar di Selangor terkawal

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

FENOMENA air pasang besar yang memasuki hari kedua di Selangor masih dalam keadaan terkawal, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Selangor, Norazam Khamis.

Menurut beliau, pemantauan di sekitar Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam mendapati air berada di bawah paras 4.9 meter dan tidak mengakibatkan limpahan teruk.

“Limpahan ekoran hujan berterusan hanya melibatkan Kampung Sungai Nangka dan Kampung Klanang, Banting yang dilanda banjir semalam.

“Namun, paras air setinggi 0.6 meter di kawasan itu mula surut dan menunjukkan penurunan pagi tadi,” katanya hari ini.

Katanya, operasi pemantauan menyeluruh dijalankan pihaknya bersama beberapa agensi lain bermula pukul 5 pagi tadi.

“Beberapa lokasi dikenalpasti di empat daerah berkenaan termasuk di sekitar Banting.

“Berdasarkan laporan, air pasang masih berada bawah 4.9m dan tiada limpahan teruk ke kawasan berdekatan.

“Paras air bagaimanapun mula surut dan tiada pemindahan mangsa dilakukan kecuali di Banting,” katanya.

Jelas Norazam, pihaknya bersama semua agensi lain akan terus menjalankan pemantauan air pasang dan banjir di seluruh negeri ini.

“Kita menasihatkan penduduk terutama berdekatan pantai supaya sentiasa berwaspada dan bersedia sekiranya diarah berpindah.

“Semua agensi pengurusan bencana daerah akan memantau keadaan air pasang terutama pada awal pagi,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemantauan pihaknya mendapati paras air di Kunci Air Kelanang, Banting mula surut sejak pukul 10 pagi tadi.

“Mangsa banjir melibatkan dua kampung berdekatan bagaimanapun masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita akan memaklumkan perkembangan lanjut mengenainya dari semasa ke semasa,”katanya.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta penduduk pesisir pantai khususnya di Pantai Barat Semenanjung berwaspada ekoran fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama empat hari sehingga Rabu ini.

Keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya fenomena itu disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

Kawasan-kawasan berisiko adalah Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datuk), Selangor (Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat) dan Johor (Batu Pahat) serta Pontian). – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan