31.6 C
Kuala Lumpur
Monday, May 23, 2022

ATM hantar 196 anggota, 31 aset ke Johor bantu mangsa banjir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sudah menggerakkan 196 anggotanya termasuk 12 pegawai menerusi Operasi Murni (Ops Murni) ke beberapa daerah di Johor yang kini berhadapan bencana banjir.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pasukan yang diletakkan dalam keadaan bersiap siaga sebelum ini sudah mula diatur gerak ke daerah Tangkak, Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.

Menurut beliau, setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 12 pegawai dan 184 anggota lain-lain pangkat sudah berada di lapangan dan memulakan tugas operasi.

“Sebanyak 31 aset ATM turut diatur gerak ke semua daerah itu membabitkan tujuh bot dan enjin bot, satu trak tujuh tan, 14 trak tiga tan serta dua trak satu tan.

“Kesemua anggota dan aset itu dari Batalion ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Ke-33 Rejimen Artileri Diraja, Rejimen Ke-2 Rejimen Artileri Diraja dan Rejimen Ke-4 Rejimen Artileri Diraja,” katanya hari ini.

Baca juga:   Banjir: 53 terkorban, tiga masih hilang

Selain itu, menurut beliau, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja, Rejimen 501 Askar Wataniah serta Skuadron Ke-8 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) turut dihantar ke lokasi terjejas banjir berkenaan.

“Ops Murni oleh ATM di negeri Johor itu bagi membantu petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan setiap agensi berkaitan.

“Keutamaan di pihak ATM adalah memindahkan mangsa-mangsa banjir ke kawasan selamat khususnya pusat pemindahan sementara (PPS), mempercepatkan penghantaran makanan dan barang keperluan ke PPS.

Baca juga:   Banjir di Queensland: 110 pelajar Malaysia dipindah ke PPS

“Pasukan itu akan turut mengutamakan bantuan di kawasan-kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta kawasan pedalaman dan membantu proses penyediaan makanan di PPS yang dibuka setakat ini,” katanya.

Tambah beliau, ATM sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Meteorologi Malaysia untuk maklumat terkini paras semasa air sungai di seluruh negeri Johor serta ramalan cuaca khususnya di sebelah Selatan Semenanjung.

“Selain Johor, Ops Murni turut sedang giat dilaksanakan di seluruh negara dan secara keseluruhan setakat ini, seramai 60 pegawai dan 1,123 anggota lain-lain pangkat diatur gerak ke seluruh negara termasuk Johor.

“ATM turut menggunakan 190 aset merangkumi enjin bot, trak tujuh tan, trak tiga tan, trak satu tan, backhoe (jentera pengorek), lori tipper, water bowser (pengangkut air) dan ambulan medan,” katanya.

Baca juga:   Pasukan Bencana Istana Negara bantu mangsa banjir Mentakab

Hishammuddin berkata, perancangan Ops Murni akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan kawasan.

-EDISI9

Terkini

Najib nafi kerajaan bakal berbelanja bilion bantu Sapura

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan kerajaan bakal membelanjakan berbilion ringgit untuk melaksanakan cadangannya berkenaan penyelamatan...

Lagi Artikel Berkaitan