29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PICK remaja capai sasaran lebih awal daripada jangkaan KKM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SASARAN 80 peratus golongan remaja menerima vaksin lengkap sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) menjelang Januari tahun hadapan berjaya dicapai sebulan lebih awal.

Ini berdasarkan data yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman CovidNow iaitu seramai 2,720,504 individu atau 86.4 peratus daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Manakala, seramai 2,829,902 individu atau 89.9 peratus golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Terdahulu, KKM mensasarkan 60 peratus remaja lingkungan 12 dan 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam Kick-Off PICK Remaja, di SMK Putrajaya Presint 8(1) September lalu berkata, 80 peratus golongan berkenaan disasarkan untuk mendapat dos lengkap vaksin menjelang Januari 2022.

PICK Remaja menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Pelaksanaannya dilakukan melalui beberapa kaedah termasuk jangkau luar (outreach) ke sekolah atau institusi secara berjadual, suntikan di klinik kesihatan dan hospital serta kaedah jumpa terus (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di seluruh negara.

Sementara itu, bagi populasi dewasa pula, sebanyak 22,718,376 individu atau 97 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,046,859 atau 98.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, 67,701 dos suntikan vaksin diberikan pada Sabtu melibatkan 3,902 suntikan dos lengkap, 3,209 dos pertama dan 60,590 suntikan dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 54,031,000 dos.

Jumlah kumulatif dos penggalak kini 2,905,809.Bagi kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) setakat semalam Terengganu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 81.7 peratus diikuti Lembah Klang sebanyak 77.1 peratus dan Kelantan iaitu 72.4 peratus.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan