25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Perginya ‘sifu’ dan mentor politik Perdana Menteri

Tan Sri Sabbaruddin Chik, 80, meninggal dunia pukul 8 malam tadi akibat jangkitan COVID-19

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabti Yaakob menganggap pemergian ‘sifu’ dan mentor politiknya, Tan Sri Sabbaruddin Chik ke rahmatullah malam tadi sebagai satu kehilangan besar baginya dan negara.

Bagi Perdana Menteri, Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangannya dalam dunia politik.

Menurut beliau, selamanya ia menjadi kenangan dan ingatan terutama sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dari tahun 1987 sehingga 1996.

“Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

“Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham.

“Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham,” katanya menerusi Facebooknya malam ini.

Advertisements

Allahyarham Sabbaruddin, 80, meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam tadi setelah seminggu dimasukkan ke hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat jangkitan COVID-19.

Perdana Menteri berkata, Allahyarham adalah seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah begitu tekun dan berwibawa melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

“Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini.

“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat negara kita,” katanya sambil berkata kematian Allahyarham adalah sesuatu yang menyedihkan baginya.

Ismail Sabri mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan untuk menerima kehilangan besar tersebut.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan