29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Perancangan pembangunan perlu ambil kira perubahan iklim global – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

IMPAK peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir di negara ini antara yang menjadi perhatian serius dalam Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan.

Selain itu menurut beliau, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga Rancangan Malaysia Ke-15.

“Agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyatakan MAN telah telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan yang telah dibentangkan iaitu Pewartaan Perizaban Tanah Kerajaan Untuk Pengekalan Kolam; Aras Lindung Selamat Reka Bentuk Infrastruktur Pantai Akibat Kesan Perubahan Iklim dan Kenaikan Aras Laut; serta kerjasama Pelaksanaan Inisiatif Air Pulih Guna di antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. dengan Syarikat Operator Air.

Menurut beliau, kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat.

“Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir.

“Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar.

Selain itu menurut beliau, fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

“Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan, supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Manakala, bagi Inisiatif Air Pulih Guna pula bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran (Circular Economy) dalam menguruskan sumber air negara.

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh Kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan Syarikat Operator Air.

“MAN juga telah mengambil maklum dua kertas makluman iaitu Pembahagian Tanggungjawab Antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Agensi Lain Terhadap Sistem Saliran serta Garis Panduan Pembinaan Telaga Tiub untuk Tujuan Eksplorasi, Pemantauan dan Pengeluaran dalam Penggunaan Sumber Air Bawah Tanah,” katanya.-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan