24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Teliti semula cadangan pindaan RUU Akta 342

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CADANGAN terhadap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) diteliti semula.

Itu pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkaitan RUU Pindaan Akta 342, yang dikemukakan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media khas semalam.

Mohamad berkata, ini kerana terdapat hukuman dalam pindaan Akta 342 disifatkan sebagai sangat tidak munasabah termasuk denda maksimum RM100,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya bagi individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti gagal memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Katanya, Malaysia tidak boleh menjadi negara bersifat ‘menghukum’ sebaliknya perlu berteraskan undang-undang yang dilaksanakan dengan kemanusiaan.

“Di kota besar negara lain, kita diberi pelitup muka jika tidak membawanya dan kita dinasihati dengan sopan.

“Selain itu, RUU itu juga tidak menyertakan garis panduan untuk mengeluarkan kompaun.

“Alasan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa ia sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan selepas undang-undang itu diluluskan adalah tidak menepati objektif pindaan ini.

Advertisements

“Ini kerana tiada undang-undang wajar diluluskan tanpa segala maklumat dan perincian dijelaskan dengan telus untuk pertimbangan ahli legislatif,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham pada sidang media khas mengenai RUU Pindaan Akta 342, menjelaskan ia membabitkan cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan bagi memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.

Pada masa sama, Mohamad berkata, pindaan itu dianggap tindakan bersifat ‘piecemeal’ yang menunjukkan ketidaksediaan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merangka pindaan terbabit.

Beliau berkata, apa saja tindakan menyegerakan RUU ini tidak boleh mengabaikan ketelusan dan keadilan.

Katanya, Malaysia harus belajar daripada episod pandemik ini, malah satu daripada sebab masyarakat terus dalam keadaan sekarang kerana kegagalan dalam melaksanakan keadilan dalam penguatkuasaan.

“Banyak sudah kes layanan dan tindakan ‘dua darjat’ antara orang biasa dengan kenamaan dan orang berkuasa.

“Orang kampung, peniaga dan mereka yang biasa-biasa, dikenakan kompaun secara tidak munasabah, tetapi orang yang ternama, dikenakan denda sangat ringan,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan