31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Kemaman tidak wakili harapan seluruh rakyat – Mohamad

Mesti Baca

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tidak menggambarkan keseluruhan harapan dan cita-cita rakyat Malaysia.

Beliau berkata, PRK Kemaman itu hanyalah satu lagi kekalahan yang dihadapi oleh UMNO namun tidak sesekali mematikan parti keramat itu.

“Kemaman adalah cerita Kemaman. Ia bukan cerita yang mewakili keseluruhan harapan dan cita cita rakyat Malaysia.

“Ia hanya menewaskan UMNO tetapi tidak sesekali mematikan UMNO. Ia adalah pertandingan dalam liga demokrasi yang ada menang dan tewasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor di tangan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam PRK Kemaman kelmarin dengan majoriti 37,220 undi.

Berikut kenyataan penuh Mohamad:

UMNO menghormati keputusan Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Kemaman dengan iltizam untuk terus menimba pengajaran daripadanya.

Keputusan pilihan raya tersebut memberikan isyarat yang jelas tentang beberapa perkara dan tren penting.

Pertama, UMNO masih jauh dari berjaya untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadapnya.

UMNO menonjolkan seorang pahlawan bangsa, dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang. Namun tewas juga.

Jelas, tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil.

Tetapi buat masa ini, UMNO mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh dari mempercayainya sebagai wakil politik mereka yang berkesan.

Kedua, keputusan itu juga menyedarkan UMNO bahawa ia mesti mempunyai ‘resilient’ atau ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik.

Advertisements

Kemaman adalah indikasi jelas bahawa mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah perjalanan jauh, tidak linear dan memakan masa panjang.

Justeru, semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan, semuanya perlu sentuhan dan kecekalan baharu serta kesabaran, jika UMNO ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh dan kepercayaan bangsa Melayu dalam politik.

Ujian sebenar dalam semua ini ialah ujian ketahanan. UMNO tidak akan mudah menyerah apalagi berfikir bahawa jalan keluar bagi meraih sokongan Melayu telah tertutup rapi.

Ketiga, UMNO terus dijauhi oleh golongan muda Melayu. UMNO nampaknya masih belum berjaya ‘resonates’ dengan generasi muda bangsa sehingga penolakan golongan tersebut terhadap UMNO sudah semakin ‘consistent’.

Sesuatu harus dilakukan dengan segera. Generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan diraih sokongan mereka. Hanya kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi dan keperluan kehidupan mereka.

Keempat, Kemaman juga memberi pedoman bahawa mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar dan kompleks.

Bukan mudah untuk menghadirkan pilihan jalan politik sederhana. Ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama, semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti.

UMNO tidak boleh tergelincir daripada landasan kesedarhanaannya. Ia adalah benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Terakhir, Kemaman adalah cerita Kemaman. Ia bukan cerita yang mewakili keseluruhan harapan dan cita-cita rakyat Malaysia.

Ia hanya menewaskan UMNO tetapi tidak sesekali mematikan UMNO. Ia adalah pertandingan dalam liga demokrasi yang ada menang dan tewasnya.

Dan UMNO hanya tewas, seperti pelbagai kekalahan yang pernah ia lalui.

Di lain ketika, pasti akan ada kemenangan untuk UMNO, insya-Allah.

Semuanya adalah rahsia Tuhan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan