27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PRK Kemaman: 18,000 pengundi BN, PH ‘hilang’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 undi menewaskan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam.

Ahmad Samsuri yang mewakili Pas memperoleh 64,998 undi manakala Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia mendapat 27,778 undi.

Walaupun berjaya mendapat tambahan majoriti hampir 10,000 undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun jumlah undi yang diperoleh merosot kira-kira 716 undi.

Dalam PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid mendapat 65,714 undi menewaskan Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi) dan dua calon lain dari PKR dan Pejuang.

PH menerusi Hasuni Sudin memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani daripada Parti Pejuang Tanah Air meraih 506 undi.

Ini bermakna, keputusan PRK semalam menunjukkan bukan sokongan untuk Pas bertambah sebaliknya, BN kehilangan pengundi mereka dan juga daripada Pakatan Harapan (PH).

Undi untuk BN merosot lebih 10,000 manakala lebih 8,000 undi daripada PH pada PRU15 juga ‘tidak kelihatan’ menjadi sebab utama kemenangan besar Ahmad Samsuri.

Lalu persoalannya, ke mana menghilang lebih 18,000 undi daripada pengundi BN dan PH ketika PRU15 tempoh tahun lalu?

Advertisements

Apakah berlaku undi protes dalam kalangan penyokong parti Kerajaan Perpaduan terhadap calon?

Jika dilihat daripada latar belakang calon, beliau dikatakan calon yang diterima oleh semua peringkat pemimpin BN negeri dan mempunyai kredibiliti yang tinggi.

Lalu, kenapa para pengundi putih tidak keluar mengundi dan memberi sokongan kepada calon mereka?

Beberapa pemimpin UMNO negeri yang ditemui tidak menolak faktor “DAP” dan “Anwar” menjadi salah satu punca keengganan pengundi putih mengundi dalam PRK kali ini.

Walaupun sudah setahun Kerajaan Perpaduan ditubuhkan namun masih ramai kalangan penyokong BN yang tidak dapat menerima hakikat tersebut.

Hati mereka seolah-olah tertutup walaupun penjelasan demi penjelasan sudah diberikan bukan sahaja di sepanjang kempen PRK ini, tetapi juga jauh sebelum itu lagi.

Dalam hal ini pucuk pimpinan perlu melihat isu tersebut dengan serius jika tidak mahu melihat UMNO dan BN terus ditolak penyokong sendiri dan orang Melayu menjelang PRU16 empat tahun lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan