27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MIC perlu proaktif, bukan sekadar raih sokongan PRU-15

Mesti Baca

KEPEMIMPINAN MIC diminta bersikap proaktif dan prihatin terhadap keadaan semasa dan bukan sekadar bertujuan meraih sokongan masyarakat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kepimpinan MIC perlu bekerja keras dan penuh keikhlasan sekali gus terus memperjuangkan kepentingan kaum India khususnya, dan rakyat keseluruhannya.

Ismail Sabri berkata, beliau percaya perhimpunan agung MIC hari ini merupakan wadah terbaik, untuk parti itu memberikan tumpuan kepada usaha pembangunan dan penambahbaikan kehidupan kaum India di negara ini.

Beliau menggesa semua pihak untuk sama-samalah memberikan perhatian serius dan melakukan tindakan yang wajar, untuk memperkasakan masyarakat India.

“MIC telah melalui ujian masa dan zaman. Pelbagai cabaran dan peristiwa telah diharungi sejak penubuhannya pada tahun 1946. Pada masa ini, MIC tetap berdiri teguh dalam arena politik tanah air.

“Saya yakin, sejak PRU-14, ramai masyarakat kembali menyokong MIC. Mereka menyesal kerana tersalah pilih akibat terbuai dengan janji-janji palsu Pakatan Harapan (PH). Kini mereka sedar bahawa MIC adalah pejuang sejati untuk masyarakat India di Malaysia,” katanya.

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-17 di Kuala Lumpur. Hadir sama Pengerusi MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Mengimbau kembali sejarah MIC, Perdana Menteri berkata, parti itu diwujudkan hasil Persidangan Kaum India se-Malaya, iaitu 75 tahun yang lalu.

Katanya, pada ketika itu, wakil daripada pelbagai pertubuhan sosial telah hadir di Dewan Chetttiyar, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan mereka kemudiannya telah menyertai pakatan UMNO dan MCA pada tahun 1955, sebagai lambang permuafakatan.

“Sehingga hari ini, MIC terus setia bersama Barisan Nasional,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerjasama politik antara MIC dengan parti Perikatan terbina selepas Tun Sambanthan mengambil alih teraju kepemimpinan parti MIC pada tahun 1955.

Katanya, siri perbincangan yang diadakan dan keakraban hubungan beliau dengan Tunku Abdul Rahman, memberikan keyakinan kepada MIC untuk bersama dengan Perikatan, yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional.

Kemenangan MIC bersama Perikatan dalam Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan 1955, menjadi pemangkin hubungan erat, antara MIC dengan Perikatan.

“Sumbangan MIC dalam proses rundingan dan kemerdekaan negara, tidak boleh dinafikan. Keikhlasan MIC terhadap Perjanjian Kemerdekaan, jelas tergambar apabila wakil MIC turut menyertai delegasi rundingan di London, pada Februari 1957. Begitu juga dalam perundingan penubuhan Malaysia 1963.

“Ketika Perikatan dijenamakan semula sebagai BN, MIC masih setia bersama. Pasca PRU-14 melihat, bagaimana rakan politik BN meninggalkan parti, sama ada menyertai gabungan besar lain, atau lebihi mesra kepada gabungan politik kepartian, secara bersendirian.

Katanya, kepemimpinan BN tidak memaksa sesiapapun untuk kekal bersama tetapi ketika nilai kejujuran dan keikhlasan diuji, sewaktu BN berhadapan dengan cabaran paling besar sejak penubuhannya, MIC memilih untuk terus kekal bersama BN.

“Kesetiaan amat penting pada bila-bila masa, dan MIC walk the talk bersama mengharungi masa depan politik tanah air. Kematangan berpolitik dan komitmen kepemimpinan MIC, menyakinkan BN untuk terus bersolidariti, dan mara ke hadapan sebagai satu pasukan, demi pembangunan negara. Terima kasih MIC!

“Kemenangan calon MIC di Gadek, PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka menunjukkan bahawa dengan koloborasi politik BN, kita dapat membawa perubahan. Yang penting ialah semangat ‘setiakawan’ dikekalkan tanpa keraguan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, hal ini penting untuk generasi muda MIC masa kini agar mereka memahami segala perit-jerih perjuangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu, dan menjadikannya sebagai panduan untuk menerjah masa hadapan. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan