24.5 C
Kuala Lumpur
Monday, September 26, 2022

Komponen BN serah kepada PM tentukan masa sesuai PRU-15

Mesti Baca

PARTI-PARTI komponen Barisan Nasional (BN) sepakat menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, beliau telah berbincang dengan pihak MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan mereka sependapat untuk memberikan mandat tersebut kepada Ismail Sabri.

“Kami ketiga-tiga parti komponen Barisan Nasional telah membuat keputusan untuk menyerahkan tanggungjawab mengadakan PRU-15 kepada kebijaksanaan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri).

“Dan hasrat ini telah diberitahu kepada Yang Berhormat Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pagi tadi,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup Perhimpunan Agung MIC Ke-75 di Kuala Lumpur hari ini yang disempurnakan oleh Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Semalam, Ismail Sabri menagih sokongan partinya, UMNO untuk membantu tugas beliau sebagai Perdana Menteri dengan memberi fokus menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan dihadapi rakyat.

Beliau berkata, walaupun kes COVID-19 semakin menurun berbanding pada awal pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan ekonomi negara juga dilihat semakin pulih, tugas itu masih belum berjaya dilunaskan dengan sepenuhnya.

“Saya perlu sokongan dari parti untuk naikkan semangat saya untuk perjuangan. Isu terbesar adalah isu rakyat dan bukan politiking yang tak habis-habis.

“Kes memang semakin menurun tapi masih di sekitar 4,000. Jangan ingat kita dah bebas sepenuhnya dari COVID-19 dan tanggungjawab saya masih lagi besar dan perlu saya lakukan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera, Pahang.

Baca juga:   Gelembung pergerakan pelancongan bersasar mula 10 Mac
Baca juga:   Tiada lagi pengeluaran khas KWSP - Tengku Zafrul

Sementara itu, semalam juga, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa pimpinan tertinggi parti akan melakukan rundingan bersama kerajaan bagi mendapatkan kepastian tempoh paling sesuai untuk diadakan PRU-15.

Rundingan pimpinan tertinggi UMNO itu melibatkan Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden (Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Ahmad berkata, dalam rundingan itu, Ismail Sabri selaku Perdana Menteri akan menyatakan pandangannya sebagai wakil kerajaan.

“Rundingan ini akan dibuat bagi mendapatkan tarikh sesuai diadakan PRU-15 mengikut pandangan parti. Perkara ini sebenarnya telah selalu kita bincangkan bagi mendapatkan makluman dari setiap sudut.

“Pandangan parti dan pandangan kerajaan ini kita akan rundingkan kerana sehingga kini kita memang mendukung kepimpinan Perdana Menteri (Ismail Sabri), malah perkara ini juga disuarakan oleh presiden (Ahmad Zahid) sendiri,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, sekolah pelbagai aliran adalah sebahagian daripada DNA Malaysia dan tidak sewajarnya ia dihapuskan semata-mata mahu memenuhi kehendak sesetengah pihak.

Beliau berkata, mereka yang mahukan sekolah vernakular ini dihapuskan dan hanya satu jenis sekolah sahaja adalah golongan yang tidak faham sejarah negara ini.

“… ingin saya menyatakan di sini kekesalan dan kekecewaan saya dengan isu terbaru di mana masih terdapat suara-suara yang menuduh penubuhan sekolah pelbagai aliran adalah punca menghalang pembentukan perpaduan kaum di Malaysia.

Baca juga:   KTMB lancar dua laluan baharu DMU bulan depan

“Panggilan untuk sekolah vernakular ini perlu dihapuskan dan cuma satu jenis sekolah sahaja yang dibenarkan adalah oleh mereka-mereka yang tidak faham sejarah negara kita. Sekolah pelbagai aliran adalah sebahagian daripada DNA Malaysia,” katanya.

Baca juga:   MPOC tawar khidmat nasihat kepada BRB dari Turki

Jelas beliau, tanpa pendidikan bahasa ibunda sebagai subjek wajib yang dilaksana di sekolah kebangsaan, ia akan memberi kesan buruk terhadap pembangunan bahasa ibunda atau bahasa pertama di negara ini.

“Saya sedih kerana kita sering berhadapan dengan usaha sistematik untuk mengacau-bilau cara hidup masyarakat kita. Provokasi dan kelakuan seumpama ini boleh meranapkan kestabilan dan keamanan jika tidak ditangani dengan bijak,” katanya.

Tambah beliau, apa yang menjadi persoalan hari ini ialah, adakah kita akan membenarkan nilai-nilai yang telah membina negara kita, dipijak dan diputar belit oleh golongan tertentu yang begitu taksub mengejar agenda politik terpesong mereka? – Edisi 9

Terkini

BN diisytihar musuh utama PN bukan mengejutkan – Zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengisytiharan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh...

Lagi Artikel Berkaitan