27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kutipan hasil kerajaan meningkat 8.9 peratus – Ismail Sabri

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUTIPAN hasil kerajaan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus kepada RM210.4 bilion sehingga November lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, jumlah perbelanjaan negara turut meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM307.6 bilion untuk tempoh yang sama.

“Jawatankuasa berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) akan dapat dicapai, dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) kali ketiga bagi tahun ini di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu turut disertai oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut sama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022
serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6 peratus daripada KDNK tahun depan.

Advertisements

Kata beliau, inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dalam jangka sederhana, kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) iaitu 3.5 peratus berbanding KDNK pada 2025.

“Ke arah ini, jawatankuasa (FPC) telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik COVID19 melanda negara.

“Melangkah ke hadapan, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah RMK-12,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, kesemua usaha tersebut bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

Secara keseluruhannya, kata beliau, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan kerajaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan