29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Aspirasi Keluarga Malaysia ‘dekatkan’ rakyat dengan kerajaan

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PROGRAM 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) telah melabuhkan tirainya malam tadi.

Lebih 100,000 orang telah mengunjungi sepanjang empat hari program berlangsung dengan melibatkan lebih 30 rerurai kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

Selain itu, pelbagai pengisian telah diatur antaranya karnival kerjaya, pemberian diskaun saman trafik sehingga 80 peratus, gerai jualan, persembahan kesenian dan kebudayaan, sukan rakyat dan pelbagai acara lagi.

Bagi penulis, inilah hari terbuka kementerian dan agensi kerajaan terbesar yang pernah dianjurkan manakala bagi orang ramai pula, AKM tempat mereka melepaskan ‘geram’ selepas sekian lama ‘terperap’ di rumah angkara pandemik COVID-19.

Walaupun panganjurannya mencetuskan kebimbangan sesetengah pihak kerana pandemik COVID-19 masih menular namun penganjur amat menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan membuat saringan pengunjung untuk yang lengkap vaksin sahaja.

Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa diwawancara oleh DJ radio Traxx FM – Foto : EDISI 9 / MOHD NAIM AZIZ

Pun begitu, apabila para sudah berada di dewan, dan masing-masing teruja untuk mendapatkan pelbagai maklumat di setiap kementerian dan agensi, sudah tentulah mereka ‘terlupa’ soal penjarakan sosial.

Apatah lagi ketika sesi perasmian AKM oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan ribuan teruja untuk mendekati pemimpin negara sehingga penganjur dikenakan kompaun.

Walaupun penganjuran AKM dianggap berjaya dari segi tarikan pengunjung dan pengisiannya namun terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki sekiranya penganjur mahu menjadikannya sebagai acara tahunan.

Pertama dari segi pemilihan tempat berlangsung. Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) memang merupakan lokasi yang baik untuk penganjuran AKM kerana keluasan dewan bertaraf antarabangsa dan lokasinya yang strategik.

Namun dalam keadaan pandemik pada masa kini, alangkah lebih elok andai penganjurannya dibuat di tempat yang terbuka dan lebih luas misalnya sebuah stadium. Ini dapat mengurangkan ‘kesesakan’ di dalam dewan.

SELEBRITI tanah air, Amy Search turut mempromosikan produk kopi beliau semasa hari akhir program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia. – Foto : EDISI 9 / MOHD NAIM AZIZ

Selain itu, ada sesetengah kementerian dan agensi seolah-olah ‘tidak begitu’ bersedia untuk menyertai AMK terutama dari segi maklumat yang mahu disampaikan.

Mereka hanya sekadar mengedarkan lembaran kertas maklumat tentang kementerian tetapi tiada ‘penawaran’ khusus diberikan kepada pengunjung.

Padahal inilah masanya kementerian atau agensi berkenaan membuat promosi ‘jualan besar-besaran’ mengenai dana atau bantuan yang disediakan oleh kementerian berkaitan.

Bukannya dengan jawapan “maaf, dana untuk ini dibekukan” atau “maaf, tawaran ini sudah ditutup’ sehingga pengunjung bertanya, untuk apa pameran ini diadakan?

Sudahlah sepanjang pandemik ini pihak kementerian atau agensi tertentu ‘sukar dihubungi’ dengan alasan kebanyakan bekerja dari rumah atau kekurangan kakitangan kerana penggiliran.

DUA pemenang hadiah cabutan bertuah bergambar dengan motorsikal masing masing selepas majlis penyerahan dalam program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia – Foto : EDISI 9 / MOHD NAIM AZIZ

Pun begitu tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi tawaran kemasukan ke institusi pengajian secara langsung kepada pengunjung yang layak dan memenuhi syarat.

Begitu juga dengan Kementerian Sumber Manusia yang menganjurkan Karnival Kerjaya dan menawarkan ribuan pekerjaan kepada pengunjung melalui temuduga terbuka.

Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh orang ramai yang datang ke AKM ini. Ada sesuatu yang dibawa pulang dan bukannya sekadar ‘memeriahkan’ majlis.

Apapun secara keseluruhannya kita patut berterima kasih kepada penganjur 100 Hari AKM ini kerana sepanjang empat hari berlangsung, banyak yang dapat diperoleh oleh rakyat.

Bukan sekadar pengurangan saman trafik sehingga 80 peratus tetapi juga pelbagai insentif lain yang ditawarkan secara langsung oleh kementerian dan agensinya.

Terima kasih AKM!

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan