29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Terima kasih PM teruskan inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia

Inisiatif-inisiatif yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu.

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan inisiatif-inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang telah dikemukakan sebelum ini.

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif yang diluluskan itu merupakan sebahagian daripada aspirasi Bajet Kerajaan Keluarga Malaysia dibentangkan pada 7 Oktober lalu, yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

“Ia turut mengambil kira semua aspek khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramalkan berlaku pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Antara inisiatif-inisiatif Bajet 2023 yang diumumkan Perdana Menteri hari ini ialah Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia, Bantuan Musim Tengkujuh, Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 dan Bantuan Khas Kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.

Ismail Sabri berkata, ketika mengemukakan inisiatif Keluarga Malaysia itu, kerajaan beliau juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, keputusan Kerajaan Keluarga Malaysia pada Jun lalu untuk tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos sebanyak RM5.8 bilion, dan memberikan subsidi sebanyak RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat.

“Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat
akan terus terbela,” katanya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan