32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

SOP ketat untungkan calon tempatan, pemilik warung

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

WAKTU berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbaki kira-kira lima hari sahaja lagi menjelang hari pengundian pada 20 November ini.

Nampaknya parti-parti politik melakukan pecutan terakhir sebelum waktu berkempen berakhir 12 tengah malam 19 November.

Paling ketara melibatkan tiga parti utama yang bersaing merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Masing-masing menggunakan waktu yang tersisa ini untuk mendekati pengundi dengan sebaik mungkin ketika Kementerian Kesihatan (KKM) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) berkempen.

Ini termasuk larangan mengadakan ceramah secara terbuka serta program lawatan rumah ke rumah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Biarpun terus didesak oleh parti-parti yang bertanding mereka diberi kelonggaran bagi membolehkan pengundi mengenali cal0n-calon yang bertanding, namun desakan itu tidak diendahkan.

Hal ini sudah tentu memberi kelebihan kepada calon-calon tempatan kerana mereka tidak perlu lagi diperkenalkan, itupun sekiranya mereka sebelum ini banyak bergaul dengan masyarakat setempat.

Sebaliknya, bagi calon-calon luar yang tidak dikenali pengundi mereka terpaksa menggunakan saluran lain untuk mendekati pengundi.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin antara calon yang agresif mengunjungi warung dan kedai makan sepanjang kempen PRN Melaka. – Sumber: Facebook

Selain media sosial yang bukan semua pengundi mempunyai akses ke laman-laman sosial parti atau calon, mereka juga menjadikan lokasi tumpuan awam untuk mendekati para pengundi.

Daripada banyak tempat awam, sudah tentu warung-warung dan gerai makan merupakan tempat terbaik.

Advertisements

Tidak hairan hampir semua program para pemimpin parti politik dan calon-calon menjadikan warung, kedai makan dan cafe sebagai tempat berkumpul.

Yelah, takkanlah pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelanggan yang datang makan di warung mereka, asalkan semuanya mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, program sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Melaka semalam, lima daripadanya adalah di warung dan kedai makan, bermula dari sarapan sehinggalah minum petang.

Pendek kata melimpah ruahlah rezeki para peniaga di Melaka ini sepanjang 12 hari berkempen yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Itu belum termasuk kehadiran pemimpin dan penyokong-penyokong parti politik sebelum penamaan calon tempoh hari ini.

Malah ada pemimpin dan parti politik tertentu yang berkongsi pula nama-nama warung dan kedai makan yang mereka kunjungi menerusi media sosial, sudah tentu memberikan promosi percuma kepada perniagaan mereka.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapatlah para peniaga tersebut menampung kesukaran selama hampir dua tahun akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19.

Jadi, walaupun hari pengundian belum tiba namun ‘kemenangan’ nampaknya sudah dapat diraih oleh para peniaga hasil daripada PRN Melaka ini.

Cumanya diharapkan para pemimpin dan calon ini berbahagilah ‘rezeki’. Janganlah semua tertumpu di satu-satu warung sahaja.

Masuklah juga di warung dan gerai makan lain yang kecil, terpencil dan tidak dikenali supaya mereka juga dapat menumpang rezeki yang dibawa. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan