34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PN lancar ikrar ‘Melaka Bangkit Gemilang’

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) hari ini melancarkan ikrar yang merupakan manifesto parti berkenaan bagi rakyat Melaka sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri, 20 November nanti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan ‘Melaka Bangkit Gemilang’ merupakan tema ikrar PN dalam PRN Melaka kali ini.

Bahkan beliau menegaskan, PN juga berikrar akan membawa perubahan besar dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya dipilih untuk membentuk kerajaan.

“Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh untuk rakyat Melaka bagi memastikan tiada yang terpinggir.

“Justeru PN telah melancarkan ikrar yang bertunjangkan enam teras utama dan ia bukan omongan kosong dari kami.

“Ikrar ini adalah suara kami jika membentuk kerajaan bagi memastikan Melaka Bangkit Gemilang dengan pentadbiran yang berintegriti,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka.

Antara tunjang dalam ikrar PN untuk Melaka ialah keutuhan ekonomi bagi melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi.

Selain itu tunjang lain dalam ikrar PN untuk Melaka adalah keprihatinan kepada rakyat bagi mewujudkan persekitaran masyarakat sejahtera.

“Tunjang ketiga merupakan kerancakan sektor pelancongan bagi menaikkan kembali indutri pelancongan di negeri Melaka.

“Yang keempat pula ialah kelestarian alam sekitar bagi mendepani cabaran perubahan iklim bagi memastikan rakyat Melaka hidup dengan alam sekitar yang bersih.

“Kecekapan infrastruktur merupakan tunjang kelima dalam Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka bagi kesejahteraan rakyat Melaka.

“Manakala keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran merupakan tunjang keenam bagi memperkasakan pentadbiran kerajaan Melaka,” katanya.

Muhyiddin menegaskan, PRN Melaka merupakan peluang terbaik bagi rakyat negeri itu membuat perubahan bagi memastikan kepimpinan berintegriti dipilih.

Menurut beliau, Melaka perlu diterajui kerajaan yang berintegriti bagi memastikan kekayaan negeri dapat dinikmati rakyatnya.

“Sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan dan dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan