26.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

PN yakin dapat sokongan kuat pengundi Melaka

Hormati keputusan UMNO yang mahu bergerak solo bersama Barisan Nasional dalam PRN Melaka

Mesti Baca

PERIKATAN Nasional (PN) yakin akan mendapat sokongan kuat daripada pengundi Melaka walaupun bakal berdepan dua lagi gabungan parti politik utama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menghormati keputusan UMNO yang mahu bertanding secara solo atas nama BN dan yakin rakyat Melaka akan membuat keputusan yang tepat.

“Kita menghormati parti yang nak bergerak sendiri dan ini memberi peluang kepada pengundi untuk membuat keputusan yang tepat, yang betul.

“Sekarang ini jelas berlaku persaingan tiga gabungan parti terbesar. Saya percaya rakyat Melaka tahu dengan jelas situasi politik.

“Mereka lihat apa yang PN dah lakukan terutama sepanjang saya menjadi Perdana Menteri dan mereka terus dapat melihat situasi hari ini. Kami yakin dapat sokongan kuat di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan calon-calon PN bagi PRN Melaka di Kuala Lumpur hari ini.

Advertisements

Hadir sama Presiden Gerakan, Datuk Seri Dominic Lau dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan PN.

Di tanya sama ada tindakan UMNO itu bakal menjejaskan hubungan di peringkat Persekutuan, Muhyiddin berkata, mereka tidak mahu mencipta isu-isu besar yang baharu demi kestabilan negara.

“Kita semua maklum di peringkat Persekutuan kerajaan dibentuk oleh banyak parti dan ini di luar kebiasaan tetapi itu semua demi kestabilan negara. Malah kerajaan juga mengadakan perjanjian persefahaman dengan pembangkang.

“Di peringkat Persekutuan semua baik dan kita tidak mahu mencipta isu-isu besar lagi. Setakat ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengendalikan Kabinet dalam keadaan baik walaupun berlainan parti,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pihaknya tidak bercadang untuk mengenakan Akuan Bersumpah (SD) terhadap calon-calon yang dipilih kerana yakin mereka akan setia kepada parti masing-masing.

“Saya yakin bahawa calon-calon cukup setia terhadap apa yang diputuskan oleh parti masing-masing. Saya yakin pimpinan yang ada tahu siapa mereka dan itu akan menentukan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi selepas pilihan raya,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan