SEBANYAK 5,755 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 2,602,835 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes harian tersebut, sebanyak 23 kes adalah kes import manakala 5,732 kes adalah penularan tempatan.
“Penularan tempatan membabitkan seramai 5,501 warganegara (96.0 peratus) dan seramai 231 bukan warganegara (4.0 peratus).
“Terdapat 101 kes daripada kes harian (1.8 peratus) adalah dari kategori 3, 4, dan 5; di samping 5,654 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 506 kes (426 kes disahkan COVID-19 ; 80 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).
“Sementara, kes memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 270 kes (158 kes disahkan COVID-19 ; 112 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak lapan kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kini mencecah 234 kluster. – Edisi 9