29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

KKM naik taraf CAC COVID-19, persediaan ke arah fasa endemik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menaik taraf perkhidmatan Pusat Penilaian Klinikal COVID-19 (Clinical Assessment Centre – CAC) sebagai persediaan ke arah fasa endemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proses naik taraf ini akan melibatkan beberapa fungsi baharu yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Ini bagi memperluaskan kebolehcapaian CAC kepada lebih ramai pesakit COVID-19 dan mereka yang disyaki dijangkiti oleh COVID-19.

“Antara inisiatif yang dilakukan ialah penambahbaikan penilaian kes COVID-19 di fasiliti kesihatan primer, menggalakkan penglibatan pengamal perubatan swasta dalam menyediakan alternatif perkhidmatan CAC GP dan CAC swasta kepada pesakit COVID-19 supaya pemantauan terhadap kuarantin di rumah dapat dilakukan dengan lebih efektif dan meluas.

“Inisiatif lain yang turut dilakukan melibatkan perluasan CAC Maya (Virtual CAC) ke seluruh negara dan perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dalam inisiatif penambahbaikan penilaian kes COVID-19 di fasiliti kesihatan primer ia meliputi persediaan untuk mengendalikan kes-kes COVID-19 di Klinik Kesihatan.

“Amalan kawalan infeksi yang baik akan sentiasa dipastikan bagi mengurangkan risiko jangkitan silang.

“Dengan usaha ini, klinik kesihatan akan melakukan ujian pengesahan bagi orang yang disyaki; dan individu bergejala boleh tampil ke Klinik Kesihatan berdekatan bagi menjalani pemeriksaaan dan penilaian kesihatan.

“Ini boleh dilakukan secara walk-in mahupun temu janji klinik. Walau bagaimanapun, bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu yang lama, serta mengurangkan risiko jangkitan silang, masyarakat digalakkan untuk membuat janji temu terlebih dahulu,” katanya.

Jelas beliau, bagi pemantauan kes COVID-19 oleh pengamal perubatan swasta (CAC GP), pula sehingga 9 Oktober lalu, sejumlah 19,732 kes telah dipantau oleh CAC GP.

“Kini, terdapat sebanyak 1,149 buah CAC GP yang diwartakan di seluruh Malaysia, di mana 81 buah CAC GP aktif dalam menyediakan perkhidmatan pemantauan kes yang sedang menjalani isolasi di rumah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, susulan cadangan daripada pelbagai pihak, KKM telah membenarkan penubuhan CACS yang diuruskan sepenuhnya oleh pihak swasta.

“CACS merupakan alternatif bagi pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 (tidak bergejala atau bergejala ringan) yang menjalani pemantauan di rumah.

“CACS mengunakan fasiliti selain dari yang didaftarkan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

“Ini memberi peluang bagi CACS untuk memberikan perkhidmatan pemantauan di rumah atau tempat kediaman pesakit COVID-19 (home monitoring) secara lebih tertumpu dan tidak menjalankan perkhidmatan pesakit luar yang lain.

“Antara kawasan yang digunakan adalah seperti dewan, hotel, dan sebagainya,” katanya.

Jelas beliau, KKM telah menyediakan satu garis panduan sebagai rujukan bagi pihak yang ingin menyediakan perkhidmatan CACS.

Antaranya pemohon merupakan pemegang perakuan dari sesebuah klinik perubatan swasta berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] dan diwartakan sebagai Pegawai Diberi Kuasa di bawah Seksyen 3, Akta 342, bagi tujuan pemberian perintah pengawasan dan penjagaan di rumah, serta pemakaian peranti pengawasan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pada September lalu, CAC Maya telah diperluaskan ke seluruh negara.

“Melalui CAC Maya, individu positif yang tidak bergejala dan bukan dari golongan berisiko tinggi (berumur >60 tahun, mempunyai komorbid, atau wanita hamil) tidak perlu hadir ke CAC.

“Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat pemantauan kendiri dan melaporkan status kesihatan menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Pemantauan pesakit di kawasan Lembah Klang masih dilakukan oleh anggota di ibu pejabat KKM, manakala bagi negeri-negeri lain kini dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masing-masing.

“Selain itu, individu yang melaporkan gejala, khususnya tanda-tanda amaran (Warning Signs) seperti demam, kesukaran bernafas, letih lesu berpanjangan, dan sakit dada akan menerima SMS dan panggilan Automated Voice Recording (robocall) yang meminta mereka pergi ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan lanjut.

“Mana-mana individu yang melaporkan dua atau lebih tanda amaran akan menerima panggilan daripada pasukan perubatan Virtual CAC Outbound Team bagi mengesahkan keadaan pesakit dan sekiranya bantuan ambulans diperlukan untuk ke hospital.

“Proses ini melibatkan kerjasama strategik agensi swasta bagi memastikan intervensi yang dilaksanakan adalah berkesan.

“Ianya melibatkan Syarikat TM yang menyediakan pusat panggilan CAC Helpline, pemasangan hunting lines di Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta CAC di sekitar Greater Klang Valley dan perkhidmatan SMS broadcast untuk penghantaran SMS kepada individu yang dikenalpasti.

“Selain itu Syarikat TIME dotcom juga telah membantu dengan menyediakan perkhidmatan Automated Voice Recording (Robocall) untuk kumpulan individu yang masih belum menjawab soalan HAT dalam aplikasi MySejahtera dan kepada individu yang melaporkan Tanda Amaran (Warning Signs) serta akaun telefon VOIP (Voice Over Internet Protocol) yang digunakan oleh petugas perubatan Virtual CAC Outbound Caller bagi membuat panggilan kepada pesakit yang dikenalpasti.

Sehubungan dengan itu, Dr Noor Hisham mengharapkan dengan penambahbaikan perkhidmatan CAC ini, perkhidmatan pemantauan di rumah atau tempat kediaman pesakit COVID-19 (home monitoring) akan menjadi lebih baik dan seterusnya mengurangkan kadar kematian khususnya kes-kes Brought-In-Death (BID). – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan