28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

PRN Melaka: MKT UMNO belum buat keputusan

Mesyuarat belum menetapkan sama ada UMNO akan bertanding secara solo atau bekerjasama dengan Pas dalam pilihan raya negeri Melaka

Mesti Baca

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding secara bersendirian atau bersama Pas dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat lain setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan mengenai pilihan raya negeri itu, Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, seluruh jentera parti diarah agar membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi PRN Melaka yang diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Agihan kerusi tidak diputuskan pada malam ini, akan ada mesyuarat sekali lagi. Itu kita akan maklumkan kemudian, kita akan buat keputusan dalam mesyuarat lain,” katanya selepas mesyuarat bulanan MKT UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam tadi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu tidak akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi UMNO dan Bersatu bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

Beliau berkata, keputusan itu bagi mengukuhkan kerjasama dan muafakat ummah antara ketiga-tiga parti tersebut walaupun berkemungkinan jumlah kerusi yang bakal ditandingi Pas lebih kecil.

Sebelum itu, Zahid dalam satu wawancara berkata, UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas dalam PRN Melaka sebaliknya akan bertanding secara solo.

Advertisements

“Oleh kerana MN (Muafakat Nasional) ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan Insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, MKT turut mengesahkan pengguguran keahlian UMNO terhadap Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang sebelum itu adalah ahli di Bahagian Tangga Batu, Melaka.

Idris dan Nor Azman antara empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga kerajaan negeri pimpinan UMNO itu tumbang.

Dalam pada itu, beliau berkata, cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara akan mula bermesyuarat mulai hari ini sehingga 30 November yang akan diadakan di 191 Bahagian.

“Adalah diharapkan agar mesyuarat Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri dapat berjalan lancar dengan mengikuti SOP MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya

Selain itu, MKT turut menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan baru-baru ini berhubung penubuhan jawatankuasa khas siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib, semakan semula kes Batu Puteh dan dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan