33.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, March 22, 2023

Kerajaan meterai surat akujanji beli ubat antiviral Molnupiravir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menandatangani surat akujanji (Letter of Undertaking) pembelian ubat antiviral Molnupiravir bagi menambah pilihan rawatan melawan pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, melalui perjanjian bersama Merck Sharp & Dohme itu, kerajaan bersetuju untuk membuat perolehan sebanyak 150,000 pakej rawatan lengkap bagi merawat pesakit Covid-19.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat sebagai persediaan memulakan peralihan ke fasa endemik untuk hidup bersama virus Covid-19 dengan menambah pilihan rawatan inovatif baru sebagai ‘senjata’ untuk melawan Covid-19, selain penggunaan vaksin dan tindakan-tindakan kesihatan awam yang lain.

Terdahulu, Khairy sebelum ini memaklumkan Malaysia sudah memulakan proses rundingan perolehan ubat antiviral itu daripada Merck Sharp & Dohme, sebagai langkah memperkasa usaha dalam peralihan kehidupan bersama Covid-19.

Khairy berkata, berdasarkan kajian dijalankan syarikat berkenaan, penggunaan ubat Molnupiravir boleh menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50 peratus.

Baca juga:   Sila duduk di rumah, katil ICU sudah tidak mencukupi

“Selain itu, ia turut berkesan ke atas varian-varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, beliau ingin menegaskan sekalipun ubat Molnupiravir ini berkesan, ia bukan bermakna vaksin tidak diperlukan lagi kerana fungsi vaksin adalah untuk mengurangkan jangkitan dan mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk.

“Ubat Molnupiravir tidak boleh mencegah jangkitan. Ia hanya bermanfaat kepada yang sudah dijangkiti,” katanya.

Baca juga:   Isu Mara: Tiga lagi individu selesai beri keterangan

“Kita memerlukan kedua-dua kaedah untuk menurunkan beban penyakit Covid-19, sekaligus memberikan impak yang lebih besar terhadap usaha pencegahan dan kawalan penularan jangkitan.

Dalam pada itu menurutnya, KKM akan terus memantau perkembangan pembangunan ubat-ubatan berkaitan rawatan pesakit Covid-19 di seluruh dunia untuk memastikan negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan rawatan terbaik kepada penduduk Malaysia.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan