24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Anggota polis ‘kantoi’ angkut enam PATI di Rantau Panjang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seorang anggota polis yang dalam perjalanan mengangkut enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di tepi jalan di Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, Kelantan, malam tadi.

Anggota berpangkat koperal berusia 33 tahun bersama rakannya berusia 28 tahun yang juga peniaga ditahan pada jam 10 malam.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM1,276, mata wang Thailand, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) itu ditahan ketika pasukan polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas membuat rondaan di Lubok Gong, sebelum mereka melihat satu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki iaitu anggota polis memandu kereta dan rakannya berada di tempat duduk sebelah serta enam individu warga Thailand berusia antara empat hingga 48 tahun berada di bahagian penumpang belakang.

“Semua warga Thailand iaitu lima wanita dan seorang kanak-kanak terbabit ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ada yang sudah tamat tempoh.

“Anggota polis itu mendakwa datang mengambil semua migran untuk dijadikan pekerjanya di sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang.

“Namun, siasatan mendapati, semua migran ini masuk menerusi pangkalan haram di Sungai Golok dan mengaku datang ke negara ini untuk bekerja di kedai makan di Taman Melawati dan Gombak, Selangor serta menafikan bekerja di kedai anggota polis itu,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan hari ini.

Advertisements

Mengulas lanjut, Shafien berkata, dua suspek itu menyewa MPV berkenaan dengan kadar RM450 sehari bagi memudahkan mereka membawa PATI.

Katanya, hasil siasatan anggota polis itu pernah bertugas di sempadan negara sebelum dikenakan tindakan disiplin dan dipindahkan ke Pahang.

“Anggota polis bersama rakannya direman 28 hari bermula hari ini mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Sementara itu, enam PATI terbabit ditahan untuk siasatan mengikut 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk polis jika mereka melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan