CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berhubung isu pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.
Sehubungan itu, tegas SPRM, mana-mana pihak yang memiliki maklumat atau bukti salah laku rasuah dan penyelewengan berhubung isu berkenaan diminta tampil untuk memberi kerjasama kepada SPRM.
“Ingin ditegaskan bahawa kegagalan untuk melaporkan mana-mana salah laku di bawah Akta SPRM merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, SPRM berkata, pihaknya juga akan menghantar pegawai untuk mengadakan perjumpaan dengan beliau bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu tersebut.
Memetik laporan media, bekas Ketua Menteri Melaka itu mendakwa terdapat pemimpin UMNO di Melaka membolot projek ekonomi dan menipu kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir.
Idris mendedahkan, disebabkan perkara tersebut, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kalau UMNO terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan tangan kanan dan kiri, suap ke mulut sambil mata menjeling lagi makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka.
“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak dari tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti. Semuanya berlaku dengan jelas.
“Ini penipuan yang akan menyebabkan UMNO ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang. Saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini,” katanya dalam program bual bicara Agenda AWANI yang dihoskan oleh Essan Yahya pada Selasa.
– Edisi 9