25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kebenaran syarat lengkap vaksinasi kekal semua fasa PPN

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Semua kemudahan dan kebenaran membabitkan syarat vaksinasi lengkap dikekalkan bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, ketetapan terbaharu itu dibuat selepas mengambil perkembangan terkini peralihan fasa PPN bagi negeri-negeri di Malaysia.

“Malah, ia juga situasi dominasi varian Delta (94.9 peratus) dalam kalangan varian-varian baharu COVID -19 yang dikesan di dalam negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, perkara berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

Katanya, perincian mengenai SOP fasa pemulihan negara akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.

Khairy berkata, keputusan ini penting bagi memastikan keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat.

Advertisements

“PPN ada satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains bagi membolehkan semua rakyat kembali kepada kehidupan harian biasa.

“Oleh sebab itu, pada 8 Ogos dan 15 Ogos lalu, kerajaan telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial dan ekonomi hanya bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Katanya, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila melepasi tempoh matang selepas suntikan dos kedua.

Khairy berkata, bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

“Manakala, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.

Sebelum ini, MKN menetapkan kebenaran dan kemudahan bagi individu lengkap vaksin termasuk ‘dine-in’; melancong; aktiviti rentas daerah dan negeri; sukan dan rekreasi; aktiviti kreatif dan hiburan; keagamaan dan majlis rasmi.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan