24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Remaja sah disuntik picagari kosong, petugas diberi amaran

Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian tersebut dan memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terlibat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seorang remaja berusia 12 tahun disahkan menerima suntikan picagari kosong kerana kesilapan seorang petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya pada Khamis lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali ketika mengesahkan perkara itu berkata, remaja terbabit telah diberi suntikan vaksin COVID-19 yang baharu manakala petugas kesihatan berkenaan diberi amaran.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kejadian tersebut bukan disengajakan sebaliknya petugas berkenaan yang tersalah mengambil picagari kosong ketika proses suntikan mahu dilakukan.

Jelas beliau, petugas berkenaan sudah mengikuti prosedur yang ditetapkan dengan menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol dan menunjukkan kandungan vaksin dalam picagari kepada ibu remaja terbabit.

“Setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, dia (petugas berkenaan) meletakkan sebentar picagari itu di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

“Bagaimanapun, dia tersalah ambil picagari kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut.

“Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Advertisements

Noor Azmi berkata, kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut dan setelah memahami penjelasan yang diberikan, mereka memberi kebenaran untuk diberikan suntikan vaksin kepada anaknya di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.

“Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan.

“Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja terlibat di atas kesulitan yang berlaku. Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau human error,” katanya.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, pihaknya akan menambah baik prosedur dalaman bagi memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika suntikan bagi mengelak kejadian berulang.

“Petugas kesihatan yang berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang diitetapkan,” katanya.

Semalam satu rakaman video melibatkan proses pemberian vaksin ke atas remaja berusia 12 tahun yang menunjukkan petugas kesihatan menyuntik picagari kosong tular di dalam media sosial Facebook. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan