CYBERJAYA – Sebanyak 15,891 kes sembuh dilaporkan semalam berdasarkan data dari laman web COVIDNOW, sehingga malam tadi.
Dengan pertambahan kes sembuh berkenaan menjadikan jumlah kumulatif yang direkodkan bagi kes sembuh adalah sebanyak 2,070,715 kes.
Bagaimanapun, Sarawak merekodkan angka kematian tertinggi bagi dua hari berturut-turut dengan 25 kes daripada 121 kes kematian COVID -19.
Daripada jumlah kes kematian COVID-19 yang dilaporkan, sebanyak 83 kes kematian sebenar bagi purata tempoh tujuh hari.
Ini menjadikan jumlah kematian COVID -19 di seluruh negara adalah sebanyak 26,456 kes.
Terdapat 28 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID), menjadikan kes BID mencecah 5,307 kes.
Negeri lain yang merekodkan kematian COVID -19 ialah Johor (17), Sabah (17), Kelantan (15), Selangor (15), Perak (7), Kuala Lumpur (7), Kedah (6), Pulau Pinang (6), Perlis (3), Terengganu (2) dan Pahang (1) serta tiada kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.
Dalam pada itu, sebanyak 160,413 kes aktif melibatkan 132,642 kes (82.7 peratus) dikuarantin di rumah, 18,216 kes (11.4 peratus) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 8,655 kes (5.4 peratus) di hospital, 412 kes (0.3 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 488 kes (0.3 peratus) di ICU dengan bantuan pernafasan. -Edisi 9