PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg secara prinsip bersetuju dengan cadangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menjadikan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu sebagai hab pendidikan serantau dalam bidang tenaga.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelan induk sedang dirangka bagi mengangkat IKM Bintulu sebagai pusat latihan industri minyak dan gas serta teknologi tenaga hijau dengan fasiliti bertaraf antarabangsa yang telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.
Beliau berkata, perincian mengenainya dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan dan pelancaran rasmi akan diadakan sebelum akhir tahun ini.
“Kita melihat potensi besar dalam mempertingkat kerjasama ini memandangkan MARA mempunyai mandat dan kemudahan pendidikan yang boleh diselaraskan dengan aspirasi Kerajaan Sarawak, terutamanya dalam menjadikan negeri ini sebagai hab tenaga baharu termasuk hidrogen.
“Kita tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung. Kita mahu Sarawak dikenali sebagai pemain global dalam pendidikan berkaitan tenaga,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sebelum itu Asyraf Wajdi mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg di Kuching, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut akan memastikan anak-anak Sarawak mendapat manfaat langsung daripada program pendidikan dan latihan kemahiran MARA seperti IKM dan GiatMARA.
“Kita mahu mereka menjadi tenaga kerja mahir dengan jaminan pekerjaan dan gaji yang bermaruah,” ujarnya.
Sementara itu, dalam sesi libat urus bersama pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi MARA di Bintulu, beberapa permintaan untuk menaik taraf fasiliti telah diluluskan dengan peruntukan dianggarkan melebihi RM3 juta.
“Semangat dan motivasi pelajar-pelajar di Sarawak sangat luar biasa. Kita mahu mereka terus maju dan MARA komited untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada mereka,” katanya. – Edisi 9

