Monday, July 20, 2026

Metro Moscow kekal pengangkutan dalam bandar terbesar dunia

Pada tahun lalu sahaja, Metro Moscow mencatatkan jumlah penumpang melebihi 2.7 bilion, menjadikannya antara sistem pengangkutan bandar paling sibuk di dunia.

Mesti Baca

METRO Moscow yang menyambut ulang tahun ke-90 penubuhannya hari ini, sekali gus memperkukuh statusnya sebagai salah satu sistem pengangkutan metro terbesar dan paling cekap di dunia.

Dilancarkan secara rasmi pada tahun 1935 dengan hanya 13 stesen dan laluan sepanjang 11.5 kilometer, sistem metro itu kini berkembang pesat meliputi lebih 550 kilometer rangkaian dan 302 stesen, digunakan oleh lebih 8 juta penumpang setiap hari bekerja.

Timbalan Datuk Bandar Moscow bagi Pengangkutan dan Industri, Maksim Liksutov berkata, kejayaan berterusan Metro Moscow adalah hasil komitmen tinggi lebih 65,000 kakitangannya yang berkhidmat setiap hari.

“Sejak awal pembukaan Metro pada 1935, para pekerja telah menetapkan piawaian perkhidmatan yang tinggi. Hari ini, kami kekal komited untuk mengekalkan standard tersebut demi kesejahteraan warga kota,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ulang tahun berkenaan.

Pada tahun lalu sahaja, Metro Moscow mencatatkan jumlah penumpang melebihi 2.7 bilion, menjadikannya antara sistem pengangkutan bandar paling sibuk di dunia.

Metro Moscow mencatatkan jumlah penumpang lebih 2.7 bilion tahun lalu. – Foto Agensi

Selaras dengan arus pemodenan, lebih 75 peratus tren kini terdiri daripada model baharu yang dilengkapi sistem kawalan kelajuan automatik, reka bentuk gerabak terbuka serta ciri keselamatan dipertingkatkan.

Keupayaan operasi turut dipertingkat dengan sela masa serendah 90 saat semasa waktu puncak.

Dalam aspek digital, sistem ini telah melaksanakan penggunaan kad pintar, tiket maya dan pembayaran biometrik sebagai alternatif kepada sistem konvensional, selaras usaha meningkatkan kecekapan dan kemudahan untuk pengguna.

Bersempena sambutan ulang tahun ke-90, beberapa acara serta pameran khas turut dianjurkan di sekitar bandar Moscow, termasuk pameran tren generasi awal dan bahan arkib sejarah pembangunan rangkaian metro itu.

Metro Moscow terus memainkan peranan penting dalam landskap pengangkutan awam global, mencerminkan pencapaian dalam pembangunan infrastruktur, integrasi teknologi dan keberkesanan perkhidmatan sepanjang hampir satu abad operasinya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan